KUALA LUMPUR – Mayat pempengaruh wanita warga Taiwan yang ditemukan mati di dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay pada 22 Oktober lalu telah dituntut pihak kedutaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan kes masih diteruskan dan pihaknya kini menunggu laporan patologi daripada hospital bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Bagi kes ini, polis masih belum menerima keputusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC). Ada beberapa tindakan lagi yang perlu kita dapatkan termasuk laporan patalogi.
“Kita juga memberikan lanjutan jamin selama 14 hari kepada individu berkenaan (Namewee),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kesejahteraan Komuniti Disiplin Terjaga, Generasi Terbina Tahun 2025 di Pusat Konvensyen HGH, hari ini.
Sebelum ini, polis memaklumkan jaminan ke atas Wee Meng Chee atau Namewee, 42, dilanjutkan sehingga 10 Disember sementara polis meneruskan siasatan kematian wanita itu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, sebelum ini memaklumkan pembebasan Namewee dibuat susulan tiada bukti kukuh yang mengaitkannya secara langsung dengan kematian wanita berusia 31 tahun itu.
Namun, beliau mengarahkan siasatan lanjut dijalankan bagi mengumpul lebih banyak maklumat.
Pada 5 November lalu, Namewee menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebelum ditahan reman dan kemudian dibebaskan dengan jaminan bagi membantu siasatan.
Mangsa ditemukan tidak bernyawa di dalam bilik air hotel berkenaan pada 22 Oktober. – MalaysiaGazette
















