MELAKA – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 24 sebuah rumah inap di Taman Kota Syahbandar di sini, petang tadi.
Mangsa, yang datang bercuti ke Melaka bersama ibu bapanya minggu lalu, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan bawah bangunan oleh pekerja keselamatan bangunan kira-kira jam 2 petang tadi sebelum menghubungi polis.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati, bapa mangsa menyedari anaknya tidak pulang ke unit penginapan selepas diminta turun mengambil pesanan makanan kira-kira jam 1.30 petang.
“Selepas lebih 20 minit menunggu, lelaki itu turun mencari apabila gagal menghubungi telefon bimbit anaknya itu sebelum dimaklumkan kad akses unit kediaman miliknya ditemui di tingkat 24.
“Saksi keselamatan kemudian membawa bapa mangsa ke lokasi penemuan kad akses berkenaan sebelum mendapati remaja itu sudah meninggal dunia,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette
















