Tengku Zafrul Aziz ketika taklimat  dan perbincangan dalam  Mesyuarat Kaukus Khas Parlimen mengenai ART Malaysia-AS di Parlimen hari ini. Foto Facebook Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR  – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri memperbetulkan beberapa dakwaan liar termasuk fitnah daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) memberikan status bumiputera kepada syarikat AS.

Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan, sepanjang rundingan berlangsung, hak bumiputera adalah salah satu daripada garis merah yang sentiasa dilindungi kerajaan.

“Hak bumiputera langsung tidak terjejas dalam ART. Saya cabar Tun Mahathir untuk kemukakan klausa khusus yang memberikan syarikat Amerika Syarikat status bumiputera dalam ART,” katanya di hantaran Facebook miliknya di sini hari ini.

Beliau memberi taklimat  dan mengadakan perbincangan dalam  Mesyuarat Kaukus Khas Parlimen mengenai ART Malaysia-AS di Parlimen di sini hari ini.

Foto Facebook Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Semalam dalam satu sidang media, Mahathir mendakwa  ART itu berat sebelah dan menjadikan Malaysia seolah-olah negeri naungan AS, sekali gus mengorbankan kebebasan berdagang dengan negara lain.

Beliau persoalkan klausa keluar dan campur tangan AS dalam pelbagai sektor termasuk pemakanan, pertanian, ketenteraan dan nadir bumi, serta mendakwa perjanjian melanggar Perlembagaan dan hak Bumiputera.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menegaskan, ART bukanlah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sebaliknya mekanisme perlindungan kritikal untuk memastikan akses pasaran eksport utama kita di A.S yang bernilai hampir RM200 bilion kekal terjamin.

“Kita bertindak pantas untuk melindungi 1.1 juta pekerjaan rakyat dan lebih 7,700  Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) daripada risiko tarif unilateral.

“ART mengekalkan tarif semasa 19 peratus dan melindungi sektor-sektor utama seperti sawit, koko, dan peranti perubatan daripada kenaikan sewenang-wenangnya. Ini jaminan daya saing global kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast