PUTRAJAYA – Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini untuk memberi keterangan berhubung siasatan terhadap dakwaan rasuah.
Menurut sumber, Shamsul, yang juga bekas setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri tiba di SPRM sekitar pukul 12 tengahari tadi.
Ketibaan beliau disambut pasukan pegawai SPRM dan beliau dijangka memberi keterangan secara terperinci berkaitan kes tersebut.
Siasatan itu merupakan sebahagian daripada usaha pihak berkuasa bagi membanteras amalan rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan dan bekas pegawai kanan politik.
Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh Shamsul setakat ini dan perkembangan lanjut dijangka menyusul selepas beliau selesai memberi keterangan.
Shamsul Iskandar adalah seorang daripada tiga individu yang dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung klip video perbualan antara seorang wanita dan Albert.
Wanita berkenaan, dikenali sebagai Sofia Rini Buyong sudah hadir di Ibu Pejabat SPRM jam 2 petang semalam dan setakat pukul 8 malam, proses merakam keterangannya masih belum selesai.
Albert pula dijangka hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam keterangan pada Isnin ini.
Media sebelum ini melaporkan dakwaan Tei kononnya menyerahkan RM629,000 kepada Shamsul Iskandar selepas diyakinkan wang yang disalur kepada beberapa ahli politik di Sabah dapat diperoleh semula.
Turut didedahkan ialah tangkap layar perbualan WhatsApp dan beberapa gambar yang dikatakan menjadi bukti menyokong dakwaan berkenaan.
Selasa lepas, Shamsul Iskandar mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan percubaan menyerang dirinya dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan Madani. – MalaysiaGazette
















