Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Pelancaran Manifesto PN sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Putatan, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 21 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Menjelang beberapa jam sahaja lagi sebelum berakhirnya tempoh kempen Pillihan Raya Negeri ke-17 (PRN) Sabah, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru penduduknya membuka lembaran baharu dalam pentadbiran negeri itu.

Menurut Muhyiddin, beliau berharap penduduk Sabah tidak lagi memberikan kepercayaan kepada parti yang menjual janji setiap kali pilihan raya, namun kemudiannya mengeksploitasi mereka setelah menjadi kerajaan.

Sebaliknya, kata beliau, penduduk Sabah berhak mendapat sebuah parti yang mampu menguruskan negeri itu dengan amanah; berintegriti dan penuh kasih sayang terhadap penduduknya.

“Sabah negeri yang kaya dan rakyat Sabah berhak untuk menikmati kekayaan itu secara adil, telus dan juga nyata, bukan sekadar retorik tetapi perubahan yang betul-betul dirasai.

“Paling utama, kami berjanji untuk benar-benar mengubah nasib rakyat di Sabah. Kita mahu masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak muda di Sabah.

“Lebih banyak peluang pekerjaan, latihan kemahiran, pembangunan industri, peluang keusahawanan dan ruang untuk mereka membina hidup yang bermaruah di tanah kelahiran mereka sendiri, bukan terpaksa merantau untuk mencari rezeki di tempat lain,” katanya menerusi ucapan video di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, PN juga tidak pernah melupakan janji-janji kepada penduduk Sabah, serta sentiasa mendengar suara, memahami derita dan harapan mereka.

Ujarnya, rekod telah membuktikan semasa negara dilanda Covid-19, ketika ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan serta berdepan ancaman kesihatan, kerajaan PN bekerja siang dan malam untuk memastikan nasib penduduk Sabah juga terbela.

“Bantuan tunai, subsidi, moratorium, sokongan kepada peniaga kecil, bantuan bakul makanan, semuanya sampai kepada rakyat Sabah.

“Kita tidak memilih bulu dan kita juga tidak berjanji kosong. Apa yang dijanjikan, itulah yang kita kotakan,” katanya.

Sehubungan itu, menjelang hari penentuan esok, Muhyiddin menyeru seluruh penduduk Sabah membuat keputusan yang membawa masa depan yang lebih baik di Sabah, iaitu negeri yang disifatkan sepatutnya menjadi antara yang terkaya di rantau ini.

“Inilah masa anda, dan inilah peluang anda. Keluarlah beramai-ramai untuk mengundi dan undilah Perikatan Nasional.

“Mari kita bersama-sama `kasi bagus Sabah’,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast