Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bercakap kepada wartawan selepas hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 22 APRIL 2025

PUTRAJAYA – Sehingga bulan Jun 2025, hanya 780,000 orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar di negara ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, kadar itu jauh lebih rendah berbanding unjuran 16 peratus oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus menggambarkan masih ramai OKU belum dikenal pasti atau belum menerima intervensi awal yang diperlukan.

“Saya menganggap kesenjangan perbezaan jumlah itu sangat tidak dapat saya terima. Maksudnya banyak lagi kerja yang kita perlu lakukan,” katanya yang kecewa dengan perkembangan tersebut.

Dzulkefly berkata demikian dalam sidang media selepas Seminar Penjagaan Kesihatan OKU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

“Komuniti OKU terdiri daripada tujuh kategori dengan keperluan kesihatan berbeza-beza. Maka sistem kesihatan kita perlu responsif, fleksibel dan berpaksikan kesaksamaan akses serta keterangkuman sistemik, bukan pendekatan ‘one-size-fits-all’,” jelasnya.

Justeru, Dr. Dzulkefly menegaskan, masih banyak usaha yang perlu diperkukuhkan bagi memperkasakan perkhidmatan kesihatan untuk komuniti itu.

Beliau berkata, langkah pertama adalah mengenal pasti kewujudan OKU, sebelum memastikan mereka berdaftar secara rasmi dengan kementerian dan keduanya mendapatkan mereka berdaftar dengan KKM.

“Ini penekanan saya dan ini adalah arahan saya supaya program dan bahagian-bahagian berkaitan dikenalpasti dahulu, keduanya daftar, ketiganya saring, keempatnya rawat,” katanya.

Beliau turut menekankan proses saringan kesihatan hanya membawa manfaat jika disusuli rawatan yang sesuai.

Saringan ini hanyalah baik kalau sesuai dengan rawatan. Saring saja tak ada rawat pun tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat kesihatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast