Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menawarkan tiga program akademik baharu bermula ambilan tahun hadapan.

Tiga program baharu yang diluluskan ialah Sarjana Muda Pengurusan Logistik dengan Kepujian, Sarjana Muda Sains Dietetik dengan Kepujian, dan Sarjana Muda Sains Perubatan dan Kesihatan dengan Kepujian.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, kelulusan itu menandakan keyakinan berterusan kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), terhadap keupayaan UMS dalam menyediakan pendidikan yang relevan dengan keperluan semasa negara.

“Kelulusan tiga program baharu ini, beserta penubuhan Fakulti Undang-Undang, membuktikan keyakinan kerajaan khususnya KPT terhadap keupayaan UMS sebagai institusi yang mampu memenuhi keperluan tenaga kerja profesional di Sabah dan Malaysia amnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan pelancaran tiga program tersebut, UMS kini berada pada landasan kukuh untuk terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kesemua program akan mula ditawarkan kepada pelajar baharu pada sesi pengambilan 2026.

Sementara itu, Kasim turut menekankan pencapaian cemerlang UMS di peringkat global melalui pengiktirafan subjek dan penyelidik universiti.

“Dua subjek utama UMS tersenarai dalam QS World University Rankings by Subject 2025, Kejuruteraan Petroleum dalam kelompok 101-150 terbaik dunia dan Pertanian serta Perhutanan dalam kelompok 251-300 terbaik dunia.

“Lima belas penyelidik UMS turut diiktiraf dalam World’s Top 2% Scientists 2025 berdasarkan impak sitasi tahunan dan sepanjang kerjaya mereka.

“Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keunggulan akademik dan penyelidikan UMS, malah memperkukuh peranan universiti sebagai ‘The Brain of Borneo’ yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Sidang kedua yang berlangsung di Dewan Canselor, UMS menyaksikan  seramai 712 graduan yang terdiri daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Fakulti Kejuruteraan (FKJ) dan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP). -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast