Steven menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan seorang anak Felda, Noorilham Ismail, yang dibantu olehnya hingga berjaya menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sejarah Amerika Syarikat Moden di Universiti Malaya.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan seorang anak Felda, Noorilham Ismail yang berjaya menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sejarah Amerika Syarikat (AS) Moden di Universiti Malaya (UM) meskipun bergelut dengan pelbagai kekangan hidup serta masalah penglihatan.

Menteri Sumber Manusia itu berkata, dua tahun lalu, Ilham dan isterinya, Ifa, hidup serba kekurangan sehingga terpaksa bergantung kepada bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ilham yang merupakan OKU penglihatan ketika itu bercita-cita besar untuk menamatkan pengajian peringkat PhD namun keadaan hidup yang sempit menyukarkan perjalanan mereka.

“Demi menyokong impian suaminya, Ifa terpaksa menjadi pembantu sepenuh masa iaitu bawa kereta, bacakan bahan kajian dan urus makan minumnya,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Selepas mengetahui kisah Ilham, Steven menyalurkan bantuan bagi membiayai kos penyelidikan peringkat akhir di AS berjumlah RM15,000 selain menambah elaun RM1,000 setiap bulan sehingga Ilham menamatkan pengajian.

“Hari ini selepas dua tahun, saya cukup bangga. Ilham akhirnya bergelar doktor,” katanya beremosi.

Steven bersama keluarga Noorilham Ismail pada sesi konvokesyen di UM baru-baru ini.

Steven turut berkongsi bahawa Ilham, anak kelahiran Johor itu, pernah ditolak untuk mengikuti pengajian peringkat sarjana kerana kecacatan penglihatannya.

Namun semalam, beliau berdiri megah menerima ijazah PhD daripada DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Nazrin Shah, Canselor Universiti Malaya.

Menurut Steven, pasangan itu pernah hidup dalam keadaan sangat sukar sehingga terpaksa ‘ikat perut’ namun perjalanan hidup Ilham berubah apabila beliau kini dilantik sebagai pensyarah kanan di UM ketika ini.

“Ilham juga berjanji akan menjadi pendidik yang baik dan mendidik anak bangsa tanpa mengira kaum atau agama,” ujarnya.

Dalam nada bersahaja, Steven mendedahkan Ilham merupakan penyokong tegar Manchester United (MU) yang sentiasa menutup setiap catatan Facebook dengan ungkapan ‘Glory Glory’, sesuatu yang menurutnya mencerminkan kekuatan Ilham menghadapi pasang surut kehidupan.

“Mungkin sebab itu hatinya terlatih hadap naik turun hidup, dia tak lari, tak berhenti, tak surrender,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan, Steven semalam menghadiahkan Ilham sepasang AirPods Max Headphone, jersi MU dan sejambak bunga simbol kecil untuk meraikan perjalanan besar seorang anak Felda yang dahulunya tidak diberi peluang tetapi kini berdiri sebagai Dr Noorilham Ismail.

“Ilham, kau benar-benar ilhamku. Glory, Glory, Dr Ilham. Jalan teruih,” Sim mengakhiri perkongsiannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast