KLUANG – Konstanbel Muhammad Rahimi yang maut dihanyutkan arus deras di Kampung Giching, Sepang, Selangor malam Jumaat lalu berhasrat melangsungkan pertunangan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Ayahnya, Sarjan Mejar Penjara Amirudin Mohd Hanifah berkata, sebelum kejadian, anak bongsu daripada tiga beradik itu telah membelikan cincin serta melakukan persiapan akhir merisik dan bertunang selepas hari raya tahun depan.
“Arwah turut sempat makan malam bersama-sama bakal tunang serta keluarganya sebelum bersiap-siap untuk masuk kerja pada pukul 11 malam namun terhalang perjalanan kerana laluan ke tempat kerjanya terhalang.
“Secara kebetulan berhampiran kawasan kejadian itu ada kenduri, arwah sempat bertanya kepada penduduk sama ada jalan tersebut boleh dilalui atau tidak namun tetap melaluinya walaupun dimaklumkan oleh penduduk untuk tidak berbuat demikian.
“Ketika melalui lintasan air itu, kereta arwah dikatakan hanyut ke dalam tali air menyebabkannya terpaksa keluar dari kereta dan berenang ke tepi sebelum dihanyutkan air,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama di Simpang Renggam di sini malam tadi.
Jenazah Muhamad Rahimi disembahyangkan di Surau Ar Raudah, Penjara Simpang Renggam sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama untuk dikebumikan pukul 10 malam.
Sebelum itu, media melaporkan Muhamad Rahimi Amirudin yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di Negeri Sembilan sejak setahun lalu dilaporkan cuba berenang keluar dari parit selepas kereta Produa Bezza dinaikinya tidak dapat meneruskan perjalanan akibat terhalang daripada air banjir terlalu tinggi.
Kejadian berlaku ketika Rahimi dalam perjalanan ke tempat kerjanya dari Kampung Giching di Sepang dan dilihat cuba berpaut di tiang papan tanda jalan sebelum dihanyutkan arus deras kira-kira pukul 10.30 malam Jumaat.
Mayat arwah kemudiannya berjaya ditemui kıra-kira 50 meter dari tempat dilaporkan hilang kira-kira pukul 7.30 pagi semalam.- MalaysiaGazette
















