Ab Rahaman menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD JBU, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Azrol Anuar Nor dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, yang kini memegang jawatan sebagai Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas lebih dua tahun bergelar Ketua Polis Daerah JBU.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBU disaksikan Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad.

Azrol Anuar, 43, berkata, pihaknya menggesa semua pegawai dan anggota agar terus memberikan kerjasama yang jitu dalam usaha membanteras kegiatan jenayah sekali gus memastikan ketenteraman awam.

Beliau yang berkhidmat selama 22 tahun berkata, usaha bagi mengurangkan kadar jenayah dan gejala buli merupakan antara fokus utamanya.

“Libat urus bersama-sama pihak sekolah akan ditingkatkan di samping menambah baik kawalan isu kesesakan lalu lintas dan memperkasa keselamatan awam,” katanya yang berasal dari Kedah.

Sementara itu, Ab Rahaman berkata, pihaknya yakin kawasan JBU yang merupakan kawasan berprofil tinggi dan padat dengan kepelbagaian komuniti akan ditadbir dengan baik.

“Saya yakin beliau sebagai pemangku, mampu meneruskan momentum kecemerlangan dan terus menjaga kesiapsiagaan, disiplin anggota, hubungan masyarakat dan imej pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD JBU di sini hari ini.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast