Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil peguam mewakili ahli perniagaan Albert Tei, yang disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009, mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Gelugor di Dewan Rakyat hari ini.

Ramkarpal Singh Karpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mendakwa tindakan yang diambil SPRM itu bertentangan dengan prinsip asas kerahsiaan peguam-anak guam kerana ia membabitkan maklumat yang diperolehi peguam ketika menerima arahan daripada anak guam.

“Bukankah ini satu perkara yang amat ganjil, amat aneh? Bukankah ini merupakan satu perkara yang amat bertentangan dengan prinsip lawyer–client privilege?” soalnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2025.

Ramkarpal menekankan bahawa kerajaan, termasuk Timbalan Menteri yang juga seorang peguam, seharusnya memahami kepentingan prinsip kerahsiaan antara peguam dan anak guam yang menjadi teras amalan profesion guaman.

“Sekiranya kita diminta datang ke balai atau ke SPRM untuk memberi maklumat berkenaan arahan anak guam, sudah tentunya ini akan menjejaskan profesion undang-undang. Ini adalah jelas,” tambahnya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana Akta SPRM 2009 boleh memberi ruang kepada SPRM untuk mengambil kenyataan daripada peguam yang sedang menjalankan tugas profesional, sedangkan maklumat sedemikian lazimnya dilindungi di bawah prinsip kerahsiaan.

Dalam masa sama, Ramkarpal menggesa kerajaan meneliti keperluan meminda Akta SPRM 2009 bagi memastikan prinsip lawyer–client privilege dilindungi secara jelas dan tidak disalah tafsir oleh pihak penguat kuasa.

Beliau menekankan bahawa meskipun RUU yang dibentangkan mempunyai banyak kebaikan, isu pelanggaran kerahsiaan antara peguam dan anak guam perlu diberi perhatian serius kerana ia menyentuh integriti serta masa depan profesion undang-undang di Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast