Tertuduh, Mohamad Aswadi Yah, 46, yang sebelum ini berdepan 18 pertuduhan seksual kanak-kanak di Kelantan, Terengganu dan Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas tiga lagi pertuduhan seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, di Melaka pada Ogos tahun lalu.

MELAKA – Seorang guru besar sebuah madrasah di Kelantan dikenali Abuya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tiga pertuduhan seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sini pada Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Aswadi Yah, 46, yang sebelum ini berdepan 18 pertuduhan seksual di Kelantan, Terengganu dan Perak bermula 11 September hingga 17 Oktober lalu membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa dengan cara memasukkan kemaluannya ke dalam mulut mangsa.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama dengan memegang kemaluan remaja itu dan memaksa mangsa memegang kemaluannya bagi tujuan seksual.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b)  Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Ketiga-tiga kesalahan itu, dilakukan di sebuah rumah beralamat di Jalan TU37, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka di sini kira-kira jam 7.30 pagi 4 Ogos 2024.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kes melibatkan mangsa bawah umur.

Peguam, Mohd Irwan Sumadi bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya sudah membayar jaminan keseluruhan berjumlah RM93,000 bagi pertuduhan seksual lain yang dihadapinya di Kelantan, Perak dan Terengganu.

Selain itu, tertuduh yang mempunyai empat anak juga mempunyai penyakit darah rendah, kurang gula, sakit tulang belakang dan masalah saraf.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 5 Januari 2026 sebagai tarikh serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast