KUALA LUMPUR – Perselisihan faham menjadi punca seorang lelaki dipukul dengan batang paip polyvinyl chloride (PVC) oleh ahli keluarga teman wanitanya di Kampung Cheras Baru, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, dalam kejadian jam 1.40 pagi itu mangsa berusia 22 tahun mengalami retak tulang hidung dan telah menerima rawatan di Hospital Ampang.
“Siasatan mendapati, berlaku selisih faham semasa mangsa menghantar teman wanitanya pulang ke rumah dan abang kepada wanita itu telah memukul kaki mangsa dengan paip PVC serta menumbuk muka sehingga berdarah.
“Bapa saudara teman wanitanya pula mengugut ingin membunuh mangsa jika membawa anak saudaranya itu keluar lagi.
“Susulan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 4.50 pagi ,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Tambah Khairul Anuar, bertindak atas laporan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan tiga lelaki pada jam 4.30 petang, Sabtu lalu
“Tangkapan melibatkan dua abang dan bapa saudara teman wanita itu. Semakan mendapati, suspek pertama dan ketiga tiada rekod jenayah lalu manakala suspek kedua mempunyai satu rekod lampau.
“Kita turut merampas sebatang paip bagi membantu siasatan dan kesemua suspek kini direman empat hari bermula Ahad lalu seingga esok bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Tambah beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















