Amira Aisya Abd Aziz

JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menggesa Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perak meneliti semula cadangan Insentif Praperkahwinan Kali Pertama Anak Muda Negeri Perak.

Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, ini kerana cadangan insentif berkenaan hanya akan menggalakkan perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak.

“Pada usia 15, 16 dan 17 tahun, anak-anak ini sepatutnya berada di sekolah dan bukannya berfikir tentang perkahwinan.

“Kerajaan negeri tidak boleh berselindung di sebalik alasan ini merupakan julat umur yang mengikut definisi ‘belia’.

“Sebaliknya, barisan Exco perlu ada moral kompas yang jelas dalam membuat polisi untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan Exco negeri itu bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk membuat dasar yang menyeluruh dan tiada kelompongan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, cadangan Insentif Praperkahwinan Kali Pertama Anak Muda Negeri Perak sebanyak RM500 akan dikemukakan kepada Exco berkaitan untuk dibincangkan dan diperhalus terlebih dahulu sebelum dipertimbangkan di bawah belanjawan negeri 2027.

Menurutnya, usul berhubung insentif khas itu telah diluluskan secara sebulat suara dalam persidangan Dewan Belia Perak sesi kelima baru-baru ini sebagai langkah prihatin kerajaan negeri bagi meringankan beban kewangan belia.

“Usul ini ialah satu insentif yang kita rasa amat baik untuk memperlihatkan keprihatinan dan juga kecaknaan kerajaan negeri dalam memberikan sedikit insentif kepada pasangan yang baharu berkahwin,” katanya.

Khairudin berkata, cadangan bantuan berkenaan menyasarkan belia berumur antara 15 hingga 35 tahun berpandukan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668], dengan kriteria kelayakan khusus antaranya anak kelahiran Perak atau telah bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun di negeri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here