KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Berhad (FGV) sedang menjalankan proses semakan menyeluruh susulan penerimaan notis-notis amaran pendudukan secara tidak sah/ kesalahan menceroboh yang merujuk ladang di Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada 30 November, 1 dan 2 Disember lalu.
Semakan itu melibatkan semua dokumen berkaitan, termasuk sejarah, rekod pembayaran, bayaran premium tanah, status hak milik dan syarat-syarat pembangunan ladang.
Menurutnya, proses semakan ini dilaksanakan secara teliti melalui audit tanah yang komprehensif dan verifikasi silang dengan data pihak berkuasa negeri bagi memastikan ketepatan dan kelengkapan semua maklumat.
Felda dan FGV berkata, pihaknya memandang serius notis-notis amaran tersebut dan akan bertindak berdasarkan rekod rasmi dan dokumentasi yang disahkan serta disokong oleh fakta.
“Walaupun Kerajaan Negeri Terengganu mempunyai bidang kuasa dalam urus tadbir tanah, namun notis-notis amaran yang dikeluarkan yang memberikan tempoh tiga hari untuk Felda dan FGV mengosongkan atau merobohkan struktur binaan serta memusnahkan tanaman merupakan tempoh yang amat ketat, menekan dan sangat terhad / singkat dalam konteks pengurusan ladang dan operasi komersial.
“Felda mempunyai hak dan asas yang jelas serta kukuh di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 [Akta 530], yang memberi mandat dan tanggungjawab secara langsung kepada Felda untuk membangunkan Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA). Ini juga selaras dengan kuasa yang diberikan di bawah Akta Pembangunan Tanah 1956 [Akta 474],” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lagipun, pembangunan ladang komersial Felda dan FGV di Terengganu selama ini bertujuan menjana pendapatan bagi menyokong pembangunan komuniti, penyediaan infrastruktur dan pelaksanaan program peningkatan sosioekonomi peneroka.
“Ekosistem perladangan secara lestari melibatkan pengeluaran buah sawit hinggalah kepada pemprosesan buah tandan segar (BTS) ke jualan minyak sawit dilakukan oleh anak syarikat Felda iaitu FGV.
“Operasi ini turut memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan, perkhidmatan sokongan dan rantaian industri lain di negeri tersebut,” ujarnya.
Felda dan FGV juga mengakui wujudnya pelbagai pandangan dan spekulasi dan menegaskan isu ini akan ditangani sepenuhnya secara profesional melalui prosedur perundangan yang ditetapkan bagi menjamin ketelusan dan keadilan dalam setiap tafsiran serta keputusan yang akan dibuat.
Malah, Felda dan FGV sedang meneliti implikasi undang-undang ini secara mendalam dan akan mengambil semua langkah yang perlu bagi mengurus kesannya terhadap syarikat dan FGV supaya kepentingan peneroka terus terpelihara.
Tegasnya, pendekatan ini adalah untuk memastikan perlindungan hak setiap pihak yang terlibat, termasuk menjamin kesinambungan pendapatan kesemua 1,283 pekerja yang bergantung sepenuhnya kepada operasi ladang-ladang tersebut.
“Kebajikan pekerja Felda dan FGV, kepentingan komuniti peneroka serta kestabilan sosioekonomi komuniti setempat akan terus dipertahankan sebagai keutamaan tertinggi dalam sebarang proses dan penyelesaian,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Felda dan FGV menegaskan notis-notis amaran yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu tidak memberi sebarang kesan terhadap operasi ladang peneroka dan seluruh komuniti peneroka di FeldaA Wilayah Terengganu.
Bahkan, komuniti peneroka boleh meneruskan aktiviti sara hidup seperti biasa, bagaimanapun notis-notis amaran ini mempunyai implikasi langsung terhadap operasi Felda dan FGV khususnya perancangan jangka panjang dan kelancaran aktiviti komersial yang berkaitan.
“Impaknya turut merangkumi penurunan hasil yang menyumbang kepada pendapatan negara sekali gus memberi kesan kepada komuniti peneroka yang bergantung kepada prestasi sektor perladangan,” tambahnya yang optimis penyelesaian terbaik akan dapat dicapai melalui proses perundangan yang teratur dan semangat kerjasama antara semua institusi kerajaan yang terlibat.
Jelasnya, Felda dan FGV juga beriltizam untuk memastikan setiap tindakan yang dilaksanakan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dengan tetap memelihara kepentingan pekerja, komuniti peneroka, menghormati bidang kuasa negeri serta menyumbang kepada kestabilan industri perladangan negara secara keseluruhan.
Baru-baru ini Kerajaan Terengganu memberi masa tiga hari kepada Felda untuk mengeluarkan aset boleh alih di 10 ladang milik FGV seluas kira-kira 15,000 hektar itu sebelum proses sitaan bermula.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Azman Ibrahim berkata, tindakan itu diambil selepas tempoh rundingan antara kerajaan negeri dan Felda berkait isu perkongsian keuntungan yang berlarutan sejak 40 tahun lalu berakhir semalam.
“Penyerahan notis dilakukan serentak hari ini kepada pihak pengurusan 10 ladang FGV di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun serta Hulu Terengganu.
“Papan tanda notis turun dipasang di kawasan berkenaan yang membabitkan 127 lot tanah,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Azman berkata, selepas proses sitaan tindakan kompaun akan dilaksanakan kepada Felda kerana menceroboh tanah kerajaan negeri selain mengemukakan saman sivil menuntut kerugian yang ditanggung sepanjang isu tersebut.
“Selain itu prosedur jenayah akan dilaksanakan kerana Seksyen 425 Kanun Tanah Negara adalah kesalahan jenayah,” katanya yang menambah notis turut dihantar kepada semua Ahli Lembaga Pengarah FGV. – MalaysiaGazette
















