KUALA LUMPUR – Trend pendapatan rakyat yang semakin baik apabila pendapatan menengah isi rumah bagi semua kategori utama, B40, M40 dan T20 menunjukkan peningkatan ketara sejak 2022.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kelompok B40 mencatat peningkatan purata 5.2 peratus dengan pendapatan penengah meningkat kepada RM3,815 pada 2024 berbanding RM3,440 pada 2022.
Beliau menjelaskan peningkatan pendapatan itu disumbangkan oleh empat punca utama iaitu pendapatan bergaji, bekerja sendiri, harta dan pelaburan serta pindahan semasa.
“Bagi M40, pendapatan penengah naik daripada RM7,694 pada 2022 kepada RM8,999 pada 2024 iaitu kenaikan sebanyak 5.6 peratus.
“Golongan T20 turut menunjukkan peningkatan dua peratus, daripada RM15,867 kepada RM16,517 dalam tempoh sama,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN–Besut) berhubung dasar kerajaan dalam menentukan kumpulan sasar bagi bantuan dan subsidi.
Hanifah menambah, walaupun pendapatan penengah meningkat, kerajaan masih mengekalkan pengelasan B40, M40 dan T20 buat masa ini.
Namun katanya, penambahbaikan dijangka dilakukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) termasuk mempertimbangkan penggunaan sistem baharu berdasarkan pendapatan boleh guna.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemberian bantuan ketika ini masih berasaskan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang mengambil kira keperluan makanan dan bukan makanan seperti kesihatan dan pendidikan. – MalaysiaGazette
















