KUALA LUMPUR – Adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak membuat kesimpulan sendiri berhubung prestasi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.
Sebaliknya, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, semua pihak perlu menunggu laporan penuh Pengerusi PN Sabah Datuk Seri Ronald Kiandee dan Pengarah Pilihanraya Sabah, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang bertanggungjawab mengendalikan jentera serta kempen PN pada PRN-17 Sabah.
Tegas beliau, tindakan membuat kenyataan sebelum laporan post mortem disiapkan oleh Ronald dam Hamzah adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.
“Laporan hasil post mortem PRN-17 Sabah itu penting dan mesti dibentangkan oleh pihak yang bertanggung jawab mengendalikan PRN Sabah kepada Majlis Tertinggi (MT) PN dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Ini bagi mengelakkan spekulasi dan membolehkan parti memperbaiki kelemahan pengurusan PRN itu agar boleh dijadikan panduan dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Semalam, media melaporkan Bersatu Sabah secara terbuka mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN susulan kekalahan gabungan itu pada PRN-17 Sabah.
Desakan itu dibuat oleh Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin yang tampil bersama barisan ketua bahagian, calon-calon PN daripada Bersatu serta kepimpinan sayap parti dalam satu sidang akhbar khas.
Malah, Yunus menyifatkan keputusan PRN-17 Sabah sebagai “keputusan memalukan” yang memberi tamparan hebat kepada jentera, calon serta akar umbi parti.
Sementara itu, mengulas mengenai sidang akhbar oleh Yunus berkenaan, Tun Faisal Ismail berkata, Setiausaha Bersatu Sabah berkenaan sepatutnya membantu Ronald dan Hamzah menyiapkan laporan post mortem sesegera mungkin, bukannya membuat kenyataan menyalahkan mana-mana pihak.
Keputusan PRN-17 Sabah pada Sabtu lalu menyaksikan PN mencatatkan prestasi buruk selepas hanya menang satu daripada 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Kerusi itu dimenangi calon Pas, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan yang bertanding di DUN Karambunai, manakala calon Bersatu tewas di kesemua 30 kerusi ditandingi. – MalaysiaGazette
















