Datuk Mas Ermieyati Samsudin membentangkan penyata Tindakan Susulan Kementerian bagi syor-syor penyata PAC Parlimen berhubung Pelaburan Domestik Khazanah di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan wujudnya kelemahan sistemik dalam pengurusan kewangan awam yang melibatkan perolehan, pelaksanaan projek, pengurusan hasil, dan prestasi syarikat milik kerajaan (GLC/GLIC).

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC mengesan penemuan kelemahan itu bukan sekadar isu pentadbiran tetapi mempunyai implikasi yang besar terhadap komitmen fiskal jangka panjang kerajaan.

Menurut beliau, yang paling penting, menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan menguruskan setiap sen wang awam secara berhemah dan telus.

“PAC mendapati corak ketidakpatuhan dan ketidakcekapan yang berulang, membangkitkan kebimbangan serius mengenai risiko ketirisan, pembaziran dan beban kewangan yang sepatutnya tidak perlu ditanggung oleh rakyat.

“PAC mengenal pasti kelemahan-kelenahan sistemik yang membimbangkan dan berpotensi mencetuskan risiko fiskal besar serta menjejaskan keyakinan rakyat ,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Beliau membentangkan penyata Tindakan Susulan Kementerian bagi syor-syor penyata PAC Parlimen berhubung Pelaburan Domestik Khazanah.

Mas Ermieyati menambah, selain itu , PAC Parlimen ke-15 telah mengadakan sejumlah 147 mesyuarat bagi tahun 2025 manakala jumlah penyata yang dibentangkan adalah sebanyak 17 penyata.

“Secara keseluruhan, PAC Parlimen Malaysia mengambil perhatian yang amat serius terhadap penemuan kritikal yang dibangkitkan sepanjang prosiding dan laporan PAC pada tahun 2025,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast