KENYATAAN akhbar DAPSY Kebangsaan berkenaan kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong menyelar Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya menilai partinya sendiri terlebih dahulu yang turut ditolak sepenuhnya rakyat pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.

Malah, dalam nada sindiran, Kah Leong berkata, beliau tidak pasti sama ada Mohamed Azmin turut berkempen di Sabah khususnya di Sandakan disebabkan mungkin mempunyai kenangan tertentu di situ.

Atau, ujarnya, Mohamed Azmin mengetahui dengan jelas sebab utama kekalahan 41 kerusi PN pada PRN-17 Sabah yang berpunca daripada tindakannya memecah-belahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam masa sama, Kah Leong mengingatkan Mohamed Azmin yang mana selepas DAP kalah di kerusi-kerusi yang ditandingi, pimpinan DAP tidak pernah menyalahkan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/12/04/prn-sabah-isyarat-pengundi-cina-peniaga-mula-tolak-dap-ph-azmin/

Sebaliknya, kata beliau, pemimpin DAP segera menggerakkan mesyuarat demi menilai punca kekalahan, malah beriltizam untuk menyegerakan agenda reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang.

Malah, ujarnya, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke juga mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan parti.

“Akar umbi DAP bertekad dan berdiri bersama dengan pimpinan parti dalam keadaan sebegini.

“DAP akan bermuhasabah dan meneruskan segala gerak kerja dalam kerangka Kerajaan Persekutuan dan negeri masing-masing untuk terus mengekalkan sokongan masyarakat berbilang kaum yang merangkumi peniaga Cina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mohamed Azmin yang juga Sekretariat Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) berkata, PRN-17 Sabah memberi isyarat jelas yang mana pengundi Cina dan golongan peniaga menolak Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Sehubungan itu, menurut Mohamed Azmin, IPR bersedia menawarkan kebijakan dan dasar yang progresif bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang membawa kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua.

Sementara itu, Kah Leong berkata, berbeza dengan Bersatu yang disifatkan parti huru-hara, seramai 20 Ketua Bahagian parti tersebut di Sabah misalnya telah mendesak Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Selain itu, ujarnya, wujud dakwaan sebelum ini yang mana ramai Ketua Bahagian Bersatu turut menandatangani akaun bersumpah (SD) yang mendesak supaya Muhyiddin berundur.

“Jangan sibuk cari kuman di seberang laut, Azmin Ali harus teliti apakah sebabnya 36 kerusi (PN) hilang deposit,” katanya.

Dalam masa sama, Kah Leong turut menyelar Pas supaya tidak berasa angkuh dengan kemenangan sulung parti itu di Sabah menerusi kerusi DUN Karambunai.

Menurut beliau, ramai mengetahui kemenangan calon Pas itu bukan atas kekuatan parti, tetapi hanya meminjam kapasiti PN semata-mata.

“Jagalah ADUN tunggal yang hanya pakai baju PN untuk bertanding agar tidak melompat nanti,” katanya.

Pada PRN-17 Sabah, PN khususnya Bersatu dan DAP masing-masing mencatatkan prestasi terburuk apabila langsung tidak memenangi kerusi yang ditandingi calon masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast