Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Keputusan yang dibuat oleh masyarakat perniagaan khususnya pengundi Cina yang menolak DAP dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah adalah isyarat rakyat mahukan perubahan yang signifikan untuk menjamin masa depan negara.

Sehubungan itu, Sekretariat Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya bersedia menawarkan kebijakan dan dasar yang progresif bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang membawa kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua.

Selaras dengan matlamat itu juga, Mohamed Azmin berkata, IPR akan menganjurkan Konvensyen Rakyat `Selamatkan Malaysia’ awal tahun hadapan dengan penglibatan semua anggotanya.

“Ia bagi membincangkan dasar ekonomi termasuk kos sara hidup, sistem pendidikan yang memberi penekanan terhadap nilai yang murni, keselamatan negara dan rakyat dan perpaduan rakyat Malaysia melalui kerangka dasar yang komprehensif,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan mesyuarat Sekretariat IPR yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, mesyuarat Sekretariat IPR semalam turut membincangkan mengenai perjanjian perdagangan timbal balik (ART) Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Ujarnya, ART telah mengundang kritikan keras daripada pelbagai pihak kerana mengehadkan ruang dasar ekonomi Malaysia dan terikat untuk menyesuaikan dasar industri dan keselamatan ekonomi dengan kehendak AS.

“IPR melahirkan kebimbangan di atas masa depan kedaulatan dan keselamatan negara.

“IPR berpendirian untuk terus membahaskan isu ART yang nyata bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan mesti disemak semula,” katanya.

IPR merupakan gabungan sebanyak 11 parti-parti politik di luar blok kerajaan dengan tema perjuangan ‘Selamatkan Malaysia’. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast