Badrul Hisham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan dana persatuan universiti, Februari lalu.

MELAKA – Seorang profesor yang juga pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan dana persatuan universiti berkenaan pada Februari lalu.

Tertuduh, Badrul Hisham Ahmad, 50, yang juga Presiden Persatuan Staf Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeMASA) membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Menurut pertuduhan, Badrul Hisham didakwa dengan curang menggunakan wang berjumlah RM10,000 milik UTeMASA.

Perbuatan itu adalah untuk pembayaran kos guaman kepada sebuah firma guaman tanpa kelulusan Majlis Eksekutif persatuan itu, sebagaimana dikehendaki Fasal 10 Kewangan Perkara 4 perlembagaannya.

Perbuatan tersebut dilakukan tertuduh yang merupakan pensyarah di Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer menerusi satu transaksi bank pada 25 Februari 2025.

Kesalahan itu memperuntuk hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun dengan sebatan dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Julieana Yahaya mencadangkan jaminan RM10,000 selain syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport dan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM sehingga kes selesai.

Peguam tertuduh, Ahmad Soleh Yusof kemudian merayu jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dan jaminan akan dibuat oleh isterinya yang merupakan suri rumah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain mematuhi syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan serahan dokumen pada 30 Januari depan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast