JPJ Kuala Lumpur menyita sebuah lori selepas melakukan lima kesalahan dalam Ops Khas Kenderaan Perdagangan di Jalan Kepong, semalam. FOTO Ihsan JPJ

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemandu lori membawa kenderaan dengan pelbagai lesen tamat tempoh serta tanpa lesen pengendali membawa padah apabila dia ditahan dalam Ops Khas Kenderaan Perdagangan di Jalan Kepong, semalam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, pemeriksaan ke atas lori dipandu lelaki berusia 41 tahun itu mendapati kenderaan berkenaan bukan sahaja tidak mempunyai insurans, malah Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) turut tamat tempoh.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati perakuan pemeriksaan berkala Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) telah tamat tempoh.

“Malah pemandu lori terbabit memaklumkan bahawa dia memandu kenderaan itu atas arahan majikan,” katanya.

Menurut Hamidi, pihaknya akan memanggil majikan berkenaan bagi membantu siasatan, manakala lori tersebut turut disita untuk tindakan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, ujarnya.

“JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sentiasa memberi perhatian terhadap setiap aduan serta menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan semua kenderaan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

“Sebarang aduan berhubung kesalahan lalu lintas boleh disalurkan melalui emel [email protected] atau aplikasi e-aduan lengkap dengan butiran pengadu dan maklumat aduan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast