Foto: Fb KBS

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan lebih 5,000 peserta menyertai Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia (HKBM) peringkat kebangsaan dan negeri, sekali gus mencerminkan sambutan yang menggalakkan serta tahap kesedaran yang tinggi terhadap semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia.

Menurut KBS, secara keseluruhan, penyertaan sukarelawan belia di bawah pelbagai inisiatif kementerian itu sepanjang tahun 2025 telah mencecah lebih 10,420 orang.

“Peningkatan ini mencerminkan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh budaya kesukarelawanan serta penglibatan aktif belia dalam pembangunan komuniti,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan sempena perasmian HKBM peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Putrajaya, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Foto: KBS

Penganjuran acara ini turut selari dengan sambutan Hari
Sukarelawan Antarabangsa (International Volunteer Day, IVD) yang jatuh pada 5 Disember setiap tahun.

Di peringkat antarabangsa, tema sambutan tahun ini ialah ‘Every Contribution Matters’ atau dalam Bahasa Melayu ‘Setiap Sumbangan Penting’.

Sambutan HKBM peringkat kebangsaan tahun ini menampilkan tema ‘Belia ASEAN, Komuniti Berdaya”, membawa mesej keberanian dan keupayaan golongan belia untuk terus menyumbang dan memberi impak positif bukan sahaja di peringkat tempatan, malah merentasi sempadan ASEAN.

Sementara itu, menurut KBS, antara program-program sukarelawanan utama KBS pada tahun ini termasuk MyCorps Borneo 2025, ASEAN Youth Volunteer (AYV), Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA), Furr Ever Friends dan Projek Dengar Rakan Muda.

MyCorps Borneo 2025 yang melibatkan 20 sukarelawan dari
Sabah dan Sarawak telah memberi manfaat kepada 1,000
penerima melalui pelaksanaan program komuniti, pendidikan
dan pembangunan sosial.

AYV pula memperkukuh solidariti belia serantau melalui penyertaan 700 sukarelawan secara fizikal serta menerima 4,000 tontonan secara dalam talian daripada 11 negara anggota ASEAN.

Selain itu, SATRIA telah melaksanakan 110 projek di seluruh negara melibatkan 9,390 sukarelawan dalam latihan kesukarelawanan, pengurusan projek, kerja komuniti
dan pengurusan bencana.

Furr Ever Friends disertai oleh 180 sukarelawan dengan
tumpuan kepada peningkatan kesedaran mengenai kebajikan
haiwan serta pengamalan gaya hidup lestari dalam kalangan
komuniti.

Projek Dengar Rakan Muda dilancarkan pada 25 Oktober
lalu bagi menyediakan ruang sokongan emosi secara
percuma kepada belia. Program anjuran bersama UEM
Sunrise, HELP University dan The Befrienders Kuala Lumpur
ini diadakan pada hari Sabtu minggu pertama setiap bulan di
Publika Shopping Gallery.

Menurut KBS, sambutan HKBM 2025 turut menampilkan Pertandingan Video Pendek, Fotografi dan Esei, dengan pemenang diumumkan pada majlis penutup.

“Pertandingan ini menjadi medium ekspresi kreatif belia selaras dengan tema ‘Belia ASEAN, Komuniti Berdaya’,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai HKBM, sila hubungi En.
Mohammed Shahnaz Mawardi di talian 019-3119947 atau e-mel
[email protected] – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast