Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan seorang lelaki warga emas yang maut di lokasi kejadian bersama motosikal di Kampung Kongsi Baru Jalan Kuala Kampar, Malim Nawar, Kampar. Foto JBPM Perak

KAMPAR – Seorang lelaki warga emas yang dipercayai hilang sejak Jumaat ditemukan maut bersama sebuah motosikal di tepi jalan di Kampung Kongsi Baru Jalan Kuala Kampar, Malim Nawar, dekat sini hari ini.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mangsa pada jam 1.13 tengah hari.

Katanya, sejurus selepas itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Hasil maklumat awal mendapati mangsa yang berusia 75 tahun telah menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5.

“Dipercayai ketika sampai di lokasi, mangsa telah terbabas ke tebing jalan. Sementara mangsa telah dilaporkan hilang oleh keluarga sejak semalam (Jumaat),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shazlean, petugas Kementerian Kesihatan  (KKM) yang turut bersama pasukan bomba mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pasukan bomba telah membawa mangsa dari lokasi kejadian menggunakan pengusung atau ‘stretcher’ untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK II) (TBK), Rosli Mohammed Ali dengan kekuatan lapan anggota itu tamat pada jam 1.50 tengah hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast