KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Menerusi kenyataan FAM memaklumkan, CAS telah menetapkan tempoh sehingga 18 Disember ini bagi pihak peguam yang mewakili persatuan itu untuk mengemukakan hujahan bertulis lengkap.
“FAM telah mengemukakan Pernyataan Rayuan kepada CAS berhubung hukuman FIFA ke atas badan induk ini serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya,” menurut kenyataan tersebut.
FAM berkata, pihaknya komited untuk melalui proses rayuan ini secara profesional dan telus, selain memastikan semua prosedur perundangan dipatuhi sepenuhnya.
“Segala perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















