Mohideen.
Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan sektor kenaf mampu menjadi pemangkin baharu pembangunan luar bandar dengan meningkatkan pendapatan petani serta membuka ruang ekonomi lebih luas.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, industri kenaf yang semakin berkembang bukan sahaja menjanjikan peluang pekerjaan malah menyokong peralihan negara kepada amalan pertanian dan bahan berasaskan teknologi hijau.

Beliau merujuk data Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yang merekodkan 623 penanam pada 2023 melibatkan 744 hektar kawasan tanaman.

LKTN turut menyasarkan peluasan sehingga 2,500 hektar menjelang 2026 dengan anggaran pengeluaran sekitar 25,000 tan berdasarkan hasil 10 tan sehektar.

“Malaysia tidak boleh sekadar bergantung kepada pengeluaran kenaf mentah kerana nilai sebenar tanaman itu terletak pada pembangunan produk hiliran.

“Nilai pasaran produk kenaf yang mencecah RM6.28 juta pada suku kedua 2024 peningkatan 74.09 peratus berbanding RM3.61 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya dan sekali gus membuktikan daya maju tanaman tersebut ketika dunia bergerak meninggalkan bahan berasaskan kayu dan memilih alternatif lebih mampan.

“Petani secara tradisinya hanya menerima pulangan sederhana daripada penjualan batang kenaf mentah, sedangkan proses hiliran mampu menaikkan nilai tanaman secara ketara, termasuk penghasilan tikar gentian, biokomposit, pulpa untuk kertas dan bahan binaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen turut menekankan kelebihan biologi kenaf, gentian kulit yang kuat sesuai untuk komposit manakala gentian teras yang ringan berpotensi digunakan sebagai bahan pengisi, penyerap serta komponen binaan.

“Daun kenaf pula mengandungi protein tinggi dan boleh dipasarkan sebagai makanan ternakan yang mudah hadam alternatif penting ketika kos makanan import terus meningkat.

“Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Thailand dan Jepun telah menghasilkan pelbagai jenis kertas berasaskan kenaf meskipun kos pembuatannya lebih tinggi berbanding pulpa kayu.

“Kertas kenaf mempunyai kelebihan bebas asid, menjadikannya sesuai untuk kegunaan arkib dan dokumen khusus yang memberikan nilai pasaran lebih tinggi,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan infrastruktur seperti pusat perendaman komuniti, hab pemprosesan gentian dan kemudahan pembuatan skala kecil mampu menggerakkan ekonomi setempat.

“Petani bukan sahaja berperanan sebagai penanam tetapi juga ahli koperasi atau kumpulan pemprosesan sekali gus mengekalkan bahagian lebih besar dalam rantaian nilai dan mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

“Kepelbagaian produk hiliran pula membantu menstabilkan harga kenaf dengan mengurangkan risiko kebergantungan terhadap satu industri sahaja seterusnya menawarkan pendapatan lebih stabil kepada petani.

“Dengan penambahbaikan benih, latihan, skim beli balik dan akses kepada peralatan, petani berpotensi beralih daripada sekadar pembekal bahan mentah kepada peserta aktif dalam ekonomi hijau yang semakin berkembang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast