KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengunjurkan pendapatan RM1.7 bilion dalam Bajet 2026 iaitu meningkat sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya dengan Kumpulan Wang Zakat menjadi penyumbang terbesar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sebahagian besar peruntukan tahun depan disalurkan terus kepada asnaf melibatkan RM1.354 bilion bagi perbelanjaan agihan manakala perbelanjaan mengurus berjumlah RM250.7 juta dan pembangunan RM73.65 juta.
Menurut beliau, Bajet MAIWP 2026 bertemakan ‘Kesejahteraan Ummah’ itu telah mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 3 Oktober lalu.
“Dua fokus utama agihan tahun 2026 ialah kesejahteraan serta pemberdayaan asnaf, yang menerima peruntukan RM1.157 bilion dan pemerkasaan pendidikan ummah sebanyak RM197.2 juta meliputi bantuan pendidikan, institusi pendidikan dan sokongan kepada anak-anak asnaf dari peringkat awal hingga pengajian tinggi.
“Keseluruhan peruntukan ini dirangka secara berhemah bagi memastikan setiap sen memberi impak nyata kepada peningkatan taraf hidup asnaf serta penyediaan akses pendidikan yang lebih baik,” katanya pada sidang media Bajet MAIWP di Menara MAIWP, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.
Ketika sesi pembentangan, Mohd. Na’im berkata, MAIWP memperuntukan keseluruhan RM1.678 bilion dalam Bajet 2026nbagi mengukuhkan agenda kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Kata beliau, bajet itu selaras dengan Pelan Strategik MAIWP 2026-2030 serta Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Al-Falah yang menekankan tadbir urus berkesan, kesejahteraan insan dan pengukuhan institusi Islam.
“Prestasi MAIWP bagi tahun 2025 juga menunjukkan peningkatan ketara termasuk jumlah agihan sebanyak RM1.041 bilion sehingga November lalu melibatkan lebih 165,000 penerima melalui 38 skim bantuan.
“Malah kejayaan mengekalkan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran selama 18 tahun berturut-turut menegaskan tahap integriti dan ketelusan pengurusan kewangan MAIWP,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im memberi jaminan MAIWP menegaskan komitmennya untuk terus membantu masyarakat menangani cabaran ekonomi semasa termasuk kos sara hidup yang meningkat terutama di kawasan bandar.
“Pendekatan bajet yang digubal selari dengan semangat Belanjawan MADANI Belanjawan Rakyat ini memastikan jaringan perlindungan sosial kepada asnaf terus diperkukuh.
“MAIWP merakamkan penghargaan kepada para pembayar zakat yang menjadi tulang belakang kepada kekuatan institusi ini,” katanya.
Mohd. Na’im menambah, pada tahun ini, MAIWP mengekalkan dan memperkasa pelaksanaan 38 skim bantuan agihan zakat di bawah kluster agihan zakat di mana sehingga November lalu, seramai 165,654 penerima telah dibantu melalui skim-skim itu.
Kata beliau, MAIWP juga telah melaksanakan satu inisiatif baru iaitu Program Teduhan Insani Madani yang telah memberi manfaat kepada asnaf bagi memiliki rumah kediaman sendiri di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurutnya, melalui program itu, MAIWP melalui dana zakat telah membantu menyelesaikan baki pinjaman sedia ada 24 buah keluarga asnaf yang terpilih dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM632,300.
“Dari sudut Pembangunan Asnaf, laporan pencapaian Pelan strategik MAIWP tahun 2021-2025 telah menunjukkan bahawa seramai 2,778 orang asnaf telah mengikuti Program Bimbingan Keusahawanan MAIWP.
“Daripada jumlah tersebut, 639 orang telah berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan dengan pendapatan melebihi RM10,000 sebulan dan apa yang lebih membanggakan, seramai 366 orang daripadanya telah mula menjadi pembayar zakat.
“Laporan juga menunjukkan bahawa, seramai 1,097 orang asnaf telah dan sedang mengikuti Program Bimbingan Kerjaya anjuran MAIWP di mana aripada jumlah tersebut, seramai 757 orang daripada generasi kedua asnaf telah berjaya mendapat pekerjaan.
“Semua pencapaian ini menunjukkan usaha dan keperihatinan MAIWP dalam memastikan kesejahteraan, kelestarian dan pembangunan sosio ekonomi asnaf di Wilayah Persekutuan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

















