MOSCOW – Sebuah pesawat pengangkut tentera Rusia terhempas ketika melakukan penerbangan ujian selepas penyelenggaraan, kata Kementerian Pertahanan.
Pesawat Antonov, An-22 Antey terhempas di kawasan pedalaman wilayah Ivanovo, 360 kilometer dari Moscow, kata kementerian itu sambil menambah pasukan mencari dan menyelamat dikerah ke lokasi kejadian.
Satu suruhanjaya tentera udara Rusia dikerah ke kawasan kemalangan bagi menyiasat keadaan kemalangan, kata Kementerian Pertahanan.
Agensi berita, Tass yang memetik sumber berkata, kemalangan berlaku berhampiran kolam air Uvodskoye, dengan bahagian pesawat ditemui dalam air.
Sumber yang tidak mahu dikenali berkata, insiden tersebut meragut tujuh nyawa.
Pesawat AN-22 Antey merupakan pesawat turboprop (kipas) terbesar dunia yang dibangunkan pada 1965 di Soviet Union.
Pesawat tersebut mempunyai kapasiti muatan maksimum kira-kira 60 tan dan ia boleh membawa 290 tentera atau 29 kru yang mengiringi kargo untuk penerbangan jarak jauh. – Agensi
















