JOHOR BAHRU- Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan resolusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA yang mencadangkan parti itu meninggalkan Barisan Nasional (BN) sebagai sekadar ugutan politik.
Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mendakwa, cadangan tersebut bagi menuntut layanan lebih istimewa dalam BN.
MCA katanya, secara realiti tidak mempunyai kekuatan untuk bergerak bersendirian dalam landskap politik semasa kerana sejak awal bertapak sebagai sebahagian daripada perikatan sebelum penubuhan BN.
“MCA bertahan hingga hari ini kerana kekuatan gabungan. Tanpa sokongan pengundi Melayu, MCA tidak akan menang kerusi seperti (Parlimen) Ayer Hitam dan (Parlimen) Tanjung Piai.
“Secara solo, mereka tidak mampu mengekalkan sebarang kerusi Parlimen,” katanya dalam Facebook miliknya malam ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu berkata, sekiranya MCA benar-benar mahu keluar BN, pilihan mereka hanya terhad kepada menyertai Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun ujarnya, kedua-dua gabungan itu bukan platform selesa atau menguntungkan untuk parti tersebut.
“PN sudah kalah teruk di Sabah, malah MCA sendiri tidak selesa dengan Pas yang menjadi tonggak gabungan itu. Dalam PH pula, DAP pasti menolak mereka. Kalau diterima sekalipun, kedudukan MCA hanya akan menjadi anak tiri,” jelasnya.
Katanya, tindakan MCA membawa usul keluar BN lebih merupakan taktik politik untuk menekan UMNO dan BN agar memberi lebih banyak keutamaan terutama dalam rundingan pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Ini hanyalah ugutan supaya BN memberi layanan istimewa kepada mereka. MCA sedang mencari jalan bermaruah untuk kekal dalam BN,” katanya.- MalaysiaGazette
















