KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan menyediakan lebih banyak kediaman mampu milik untuk golongan muda dan pekerja bandar diteruskan melalui projek Residensi Memperkasa dan Residensi Madani, termasuk langkah kawal selia harga siling bagi memastikan harga kekal berpatutan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, penyerahan kunci unit Residensi Akasia Jubilee hari ini membuktikan komitmen kerajaan menyediakan tempat tinggal selesa dan mampu dimiliki penduduk kota.
“Majoriti penerima hari ini adalah anak muda yang bekerja di sekitar Kuala Lumpur. Kediaman yang dekat dengan tempat kerja bukan sahaja menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti, tetapi juga memberi lebih ruang untuk bersama keluarga,” katanya selepas majlis penyerahan kunci tersebut.
Residensi Akasia Jubilee merupakan projek rumah mampu milik UDA yang kedua di tengah bandar Kuala Lumpur dengan keluasan unit 814 kaki persegi.
Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti gelanggang futsal, dewan serbaguna, taman permainan kanak-kanak, surau, ruang dobi dan ruang tadika serta akses mudah melalui Jalan Loke Yew dan kedudukannya yang berhampiran pelbagai kemudahan serta pusat tarikan utama bandar.
Mengulas dapatan kajian yang menunjukkan harga rumah di Kuala Lumpur 4.3 peratus lebih tinggi berbanding tahap antarabangsa, Dr. Zaliha menegaskan bahawa kerajaan akan meneruskan ketetapan harga siling bagi projek Residensi Madani.
“Buat masa ini, harga siling Residensi Madani tidak melebihi RM250,000 untuk unit berkeluasan antara 800 hingga 850 kaki persegi, lengkap dengan tiga bilik dan dua bilik air,” jelasnya.
Bagi Residensi Wilayah, harga maksimum pula ditetapkan sehingga RM300,000.
Menurut beliau, kerajaan turut menggalakkan penglibatan GLC dan pemaju swasta dalam pembangunan rumah mampu milik, dengan syarat projek-projek tersebut menyediakan kuota tertentu untuk unit berharga rendah.
Sementara itu, Dr. Zaliha memaklumkan bahawa 15 kawasan hotspot banjir dikenal pasti di sekitar ibu negara menjelang musim monsun timur laut.
Beliau berkata, siren amaran telah dipasang dan akan diaktifkan apabila paras hujan mencapai 100 milimeter bagi memberi masa kepada penduduk untuk mengambil langkah keselamatan segera.
DBKL turut menjalankan pemantauan rapi bersama MetMalaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta beberapa agensi lain, termasuk kerja-kerja penyahkelodan (desilting) menerusi kerjasama dengan Petra.
Seramai 370 anggota DBKL juga berada dalam mod kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir atau bencana.
“Hujan pada kadar 116 milimeter baru-baru ini — melebihi kadar biasa 80 milimeter sejam — turut meningkatkan risiko banjir di beberapa kawasan,” katanya. – MalaysiaGazette
















