KUALA LUMPUR – Tuntutan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang kembali dibangkitkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah disifatkan sebagai satu gimik politik oleh DAP bagi meraih semula keyakinan penyokong tegar parti itu.
Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berkata, keputusan PRN Sabah baru-baru ini merupakan tamparan hebat khususnya kepada parti-parti Semenanjung, termasuk DAP yang tewas di semua kerusi ditandingi.
Menurutnya, amat janggal apabila desakan mengiktiraf UEC hanya kedengaran selepas PRN, sedangkan isu sebesar itu sepatutnya dibincangkan lebih awal di peringkat dalaman kerajaan.
“DAP adalah rakan komponen dalam Pakatan Harapan. Perkara sebesar ini sewajarnya boleh dibincang dan diselaraskan secara dalaman, apatah lagi Kementerian Pendidikan sendiri diterajui rakan gabungan mereka,” katanya.
Hafiz menegaskan, UEC bukan isu kecil memandangkan terdapat kandungan dan silibus yang didakwa tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan, menjadikan pengiktirafannya sukar dipertimbangkan selagi tiada penyelarasan mengikut acuan Malaysia.
Beliau turut mempersoal tindakan pemimpin DAP, Nga Kor Ming yang secara tiba-tiba mengangkat isu tersebut ke hadapan.
“Saya melihatnya lebih kepada gerakan politik untuk mengembalikan keyakinan pengundi tegar. Ini satu political stunt dan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Menurut Hafiz, pihak yang sepatutnya menjawab tekanan berkaitan isu ini ialah PKR dan Menteri Pendidikan sendiri, bukannya melepaskan beban kepada pihak lain.
Hafiz menegaskan, pendirian UMNO kekal konsisten bahawa UEC tidak selaras dengan dasar pendidikan negara dan parti itu menolak pengiktirafannya.
“Namun, hakikatnya, jika UMNO tidak bersetuju tetapi Perdana Menteri, Menteri Pendidikan dan Jemaah Menteri bersetuju, pengiktirafan tetap boleh dilakukan,” ujarnya.
Beliau turut mengemukakan pertanyaan kepada DAP sama ada parti itu gagal meyakinkan Perdana Menteri dan Kabinet mengenai tuntutan tersebut.
“Ini persoalan dalaman PH sendiri yang harus mereka jawab,” tegasnya.
Hafiz menambah bahawa UMNO tetap berpegang kepada prinsip mempertahankan sistem pendidikan kebangsaan yang telah dibina sejak merdeka.
“Tanggungjawab membuktikan dan meyakinkan negara tentang UEC bukan terletak pada UMNO. Itu masalah yang perlu DAP selesaikan dalam rumah mereka sendiri dan buktikan bahawa UEC boleh diselaraskan serta mematuhi perlembagaan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pihak agar tidak meniup sentimen perkauman atas percanggahan dasar pendidikan yang bertentangan dengan perlembagaan. – MalaysiaGazette
















