PUTRAJAYA – Pasukan pembelaan hari ini menghujahkan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak mendapat faedah kewangan ekoran pengeluaran dana Armada RM1 juta seperti pertuduhan bersubahat yang dikenakan terhadapnya.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah di Mahkamah Persekutuan, wang itu sebaliknya digunakan untuk membiayai program Armada seperti bantuan Covid-19, sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya serta tujuan kebajikan.
Hujah beliau, perkara itu dibuktikan melalui keterangan saksi pendakwaan ke-13 (SP13), Rafiq Hakim Razali pada pendengaran perbicaraan sebelum ini.

Peguam berhujah, tiada keterangan yang kredibel bagi menyokong dakwaan bahawa Syed Saddiq meminta Rafiq Hakim yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk `clearkan’ wang tersebut.
Sehubungan itu, hujah beliau, Mahkamah Rayuan betul ketika membebaskan Syed Saddiq daripada pertuduhan bersubahat dengan Rafiq Hakim melakukan pecah amanah berkaitan pengeluaran wang itu.
Mahkamah tertinggi negara sedang mendengar rayuan akhir pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana berkenaan.
Rayuan itu didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Hisyam selanjutnya menghujahkan, pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun tersebut, tidak terjumlah kepada mana-mana bahagian bagi kesalahan pecah amanah.
Hujah beliau, pihak pendakwaan menyatakan bahawa kes jenayah pecah amanah yang merupakan kesalahan prinsipal, dilakukan oleh Rafiq Hakim dengan cara `penyelewengan dana’.
Bagaimanapun, hujah peguam, Mahkamah Rayuan memberikan empat alasan mengapa ia berpendapat kesalahan pecah amanah itu tidak dilakukan oleh SP13.
Hisyam menjelaskan, antaranya tiada keterangan bahawa SP13 bertindak tidak jujur ekoran pengakuan bahawa beliau tidak mengetahui pengeluaran itu satu kesalahan sehingga dimaklumkan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan.
Hujah peguam, SP13 sendiri mengaku bahawa pengeluaran itu bagi tujuan program kebajikan Armada manakala pegawai penyiasat (SP25) bagi kes subahat pecah amanah, akur dengan penjelasan saksi berkenaan.
“Oleh kerana SP13 tidak melakukan kesalahan prinsipal iaitu pecah amanah, maka Syed Saddiq tidak boleh didakwa di bawah pertuduhan bersubahat dengannya,” hujah beliau.
Hisyam seterusnya berkata, hujahan pendakwaan bahawa Mahkamah Rayuan memilih-milih ketika menilai semula keterangan dalam rekod rayuan, adalah tidak bermerit.
Hujah beliau, ini kerana panel berkenaan telah menilai kesemua keterangan yang relevan sebelum memutuskan tiada kes bagi kesalahan bersubahat.
Selain itu, pasukan peguam turut menghujahkan bahawa Mahkamah Rayuan betul ketika membuat inferens bahawa SP13 dan dua lagi saksi pendakwaan (SP10 dan SP12) ditekan supaya memberi keterangan terhadap Syed Saddiq.
Menyentuh pertuduhan menyalahguna harta, Hisyam menghujahkan ia cacat, tidak berasas dan tidak selamat untuk dipertahankan kerana ia tidak menyatakan sama ada wang RM120,000 itu milik individu selain Syed Saddiq.
Katanya, SP13 dalam keterangannya tidak menyatakan wang RM120,000 itu miliknya mahupun milik akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE), Armada atau Bersatu.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di ibu negara pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada.
Perbuatan itu menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.
Syed Saddiq juga disabitkan atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – MalaysiaGazette
















