KUALA LUMPUR – Pas mempersoal kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Loke yang didakwa sebelum ini menafikan kewujudan komisen atau caj perkhidmatan yang dikenakan oleh ejen kutipan dalam urusan pembaharuan cukai jalan dan lesen.
Menurut Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan Pas Pusat, Ir. Nurul Islam Mohamed Yusoff, bukti jelas menunjukkan bahawa Pos Malaysia, MyEG dan Touch ‘n Go (TNG) sememangnya mengenakan caj perkhidmatan bagi urusan melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Beliau berkata, laman web MyEG secara terang menyatakan terdapat “jenis caj terlibat dalam pembaharuan cukai jalan dalam talian”, termasuk yuran e-khidmat.
“TNG pula didakwa mengenakan caj perkhidmatan antara RM10 hingga RM15 bagi perkhidmatan JPJ di platform mereka.
“Selain itu, laman web JPJ sendiri – agensi di bawah Kementerian Pengangkutan – menyatakan wujudnya yuran perkhidmatan oleh rakan strategik seperti Pos Malaysia, MyEG dan TNG.
“Kalau maksud beliau JPJ tidak perlu bayar komisen kepada ejen kutipan, itu satu usaha mengelirukan rakyat. Jika JPJ tak bayar, rakyatlah yang menanggung caj tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Nurul Islam menegaskan, isu yang ingin diketahui rakyat bukan soal kewujudan caj, tetapi proses pelantikan syarikat Rider Gate sebagai ejen kutipan JPJ, sedangkan syarikat itu didakwa mempunyai masalah kewangan dan mengalami kerugian selama dua tahun berturut-turut.
Beliau turut mengemukakan tiga persoalan utama kepada Loke iaitu apakah tatacara lantikan Rider Gate sebagai ejen kutipan?
“Apakah kriteria pemilihan syarikat bagi peranan tersebut dan bagaimana Rider Gate yang dikatakan bermasalah dari segi kewangan boleh melepasi tapisan JPJ?
“Kalau susah sangat nak jawab, batalkan saja lantikan Rider Gate. Tak perlu pusing sampai rakyat pun pening,” katanya. – MalaysiaGazette
















