Sumber: NHS.UK

LONDON – United Kingdom sedang berdepan gelombang ‘super flu’ yang tidak pernah berlaku sebelum in dan menteri kesihatan menggesa para doktor membatalkan mogok lima hari yang dirancang menjelang Krismas tidak lama lagi.

Wes Streeting berkata, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) yang dibiayai kerajaan berada dalam keadaan amat genting” ketika kes selesema meningkat, dan kini menghadapi “cabaran yang tidak pernah dilihat sejak pandemik Covid-19”.

Angka NHS yang diterbitkan pada Khamis menunjukkan kes selesema berada pada tahap rekod bagi waktu ini dalam setahun.

Jumlah kes meningkat 55 peratus dalam seminggu kepada purata 2,660 pesakit di hospital setiap hari, minggu lalu.

“Dengan rekod permintaan … dan mogok doktor residen (doktor junior) yang bakal berlaku, gelombang super flu yang belum pernah berlaku ini menjadikan NHS berdepan senario paling buruk untuk waktu ini dalam setahun,” kata Pengarah Perubatan Kebangsaan NHS, Meghana Pandit.

Streeting berkata, jumlah itu boleh meningkat tiga kali ganda sebelum mencapai kemuncaknya dan keadaan hospital ketika ini adalah “tidak boleh diterima”.

“Sebab itu saya merayu secara langsung kepada doktor residen supaya menerima tawaran kerajaan,” tulisnya di akhbar The Times.

Fungsi NHS merupakan isu politik utama di Britain, dengan Kerajaan Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Keir Starmer yang bergelut dengan tekanan untuk mengurangkan masa menunggu pesakit.

Mogok yang dirancang bermula 17 Disember ini akan menjadi tindakan kali ke-14 oleh para doktor sejak Mac 2023 jika ia diteruskan.

Doktor residen iaitu mereka di bawah tahap perunding dalam pertikaian dengan kerajaan mengenai isu gaji dan kekurangan peluang latihan.

Streeting telah bersetuju dengan tuntutan kesatuan doktor supaya doktor terlatih di UK diberi keutamaan untuk jawatan latihan berbanding calon dari luar negara.

Jumlah tempat latihan juga akan ditambah.

Namun beliau menegaskan kerajaan “tidak boleh dan tidak akan berganjak mengenai isu gaji, terutamanya selepas kenaikan gaji 28.9 peratus dalam tiga tahun lalu dan anugerah gaji tertinggi dalam seluruh sektor awam dalam dua tahun terakhir”.

Persatuan Perubatan British (BMA), yang mewakili doktor residen, menuntut tambahan 26 peratus yang menurut mereka diperlukan untuk memulihkan nilai gaji selepas bertahun-tahun kenaikan gaji di bawah kadar inflasi.

Kesatuan itu dijangka mengemukakan tawaran baharu kerajaan kepada ahli melalui tinjauan dalam talian yang akan ditutup pada Isnin. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast