Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada wartawan selepas hadir pada Perhimpunan Agung Parti IPF ke-33 di Club 360, Semenyih. Foto SADIQ SANI, 14 DISEMBER 2025

SEMENYIH – Barisan Nasional (BN) belum membuat sebarang keputusan untuk meletakkan siapa calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan kerusi Parlimen Kinabatangan ekoran kematian Allahyarham, Datuk Seri Bung Moktar Radin.,

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya parti itu lebih mengutamakan pendekatan berunding bersama parti-parti lain yang bertanding di kawasan tersebut demi kepentingan rakyat di negeri berkenaan.

“BN  kini sudah menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan perbincangan bukan sahaja dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) malah dengan parti-parti lain (dalam kerajaan negeri) berkenaan (kekosongan kerusi) di DUN Lamag serta Parlimen Kinabatangan.

“Kita sedar rakyat sudah letih dan terlalu banyak masa telah dihabiskan dalam Pilihan Raya Negeri yang lalu. Justeru, perundingan dengan semua pihak adalah langkah yang lebih baik demi kestabilan politik,” katanya kepada media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Disember ini bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag susulan kematian Bung Moktar pada 5 Disember lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-17 Sabah lalu, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata, tempoh bagi Parlimen akan datang yang disifatkannya  tidak panjang iaitu sekitar maksimum 24 bulan menjadikan perundingan sebagai keutamaan parti itu.

“Sekiranya perundingan dapat mengatasi sebarang pertimbangan lain berkaitan pencalonan, maka perundingan itu adalah jalan terbaik dan perlu diutamakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast