Solehah Yaacob

KUALA LUMPUR – Isu orang Rom belajar membina kapal daripada orang Melayu yang diketengahkan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr. Solehah Yaacob mendapat tindak balas positif daripada pengkaji luar negara.

Beliau berkata, beberapa orang pengkaji telah menghubungi beliau melalui e-mel menyatakan sokongan terhadap kenyataannya itu.

“InshaAllah akan ada momentum yang positif terhadap isu yang menarik ini,” katanya menerusi hantaran Facebbok, hari ini.

Sebelum ini, Solehah menyatakan orang Melayu adalah antara bangsa pertama dalam sejarah manusia yang membangunkan seni pembinaan kapal manakala Rom mewarisi ilmu pelayaran daripada tamadun maritim yang lebih awal khususnya dunia Melayu.

Pensyarah UIAM itu berkata, hipotesisnya yang berpaksikan kepada sumber Arab klasik mencadangkan, orang Rom memperoleh sebahagian seni pembinaan kapal daripada Alam Melayu.

Bagaimanapun hipotesis itu mendapat reaksi bercampur dan menarik perhatian umum menyaksikan UIAM menubuhkan Panel Inkuiri Dalaman bagi meneliti ujaran-ujaran yang dibuat Solehah.

Menurut UIAM, dapatan serta syor yang dirumuskan oleh panel akan dikemukakan kepada Autoriti Tatatertib untuk pertimbangan dan tindakan lanjut, sekiranya ada.

Sementara itu, menerusi tangkap layar pada hantaran tersebut, David Rudmin dari AncientMiddleEast.com mengambil serius dakwaan Solehah mengenai pembinaan kapal Melayu yang mempengaruhi Barat.

“Dari mana gaya kapal Phoenician diperolehi?,” soalnya.

Mungkin dari orang Melayu kerana terdapat trafik kapal berterusan merentasi Lautan Hindi, ujarnya.

Pengasas SINOA.org, Jean M Wong berkata, beliau mendapati terdapat beberapa aspek yang dikemukakan Solehah mengenai sejarah Melayu mempunyai kaitan dengan bukti yang dikumpulnya.

Wong yang merupakan penyelidik bebas yang mengkaji teknologi kuno timur berkata, beliau ingin berbincang dengan Solehah dan berkongsi beberapa bahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

Comments are closed.