Foto: FB Dr. Rozaimi Ramle

KUALA LUMPUR – Perbuatan memberikan reviu (review) palsu terhadap sesuatu produk sama ada makanan atau apa-apa perkhidmatan adalah haram hukumnya di dalam Islam.

Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Dr. Rozaimi Ramle berkata, ia bersandarkan riwayat ketika Nabi Muhammad SAW sedang menceritakan tentang dosa-dosa besar kepada para sahabat yang mana baginda bersabda yang membawa maksud: `Penyaksian palsu atau perkataan palsu (dusta)’.

Sehubungan itu, jelas beliau, memberi penyaksian palsu ataupun kata-kata palsu merupakan salah satu dosa besar dalam agama.

“Nampak kecil namun impaknya besar. Beringatlah. Jangan zalimi orang,” katanya menerusi laman sosial Facebook semalam.

Terdahulu, Rozaimi yang juga penceramah bebas menegur sikap sesetengah individu yang memberi review palsu atau memberi review pada perkara yang mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang kualiti produk atau servis tertentu.

Sebagai contoh, ujar beliau, review yang dibuat dengan memberikan satu atau dua bintang di aplikasi Google terhadap kedai yang tidak pernah dikunjungi.

Selain itu, terdapat juga gerakan memboikot kedai tertentu dengan memberi review palsu di laman sosial hanya kerana pengusahanya berbeza pandangan dalam soal politik.

“Terbaru saya melihat dalam laman sosial, ada pihak yang memberikan rating hanya satu bintang pada kedai Khairul Aming. Walhal restoran itu belum memulakan operasi lagi.

“Ini menunjukkan mereka belum menerima servis daripada kedai tersebut, tapi telah memberikan satu bintang atau review palsu.

“Ketahuilah kesemua perkara ini hukumnya haram,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast