SHAH ALAM – Dua wanita tempatan hanya sempat memperoleh bayaran upah yang lumayan sehingga RM15,000 untuk menjalankan aktiviti pembungkusan pelbagai jenis dadah sejak tiga bulan lalu.
Bagaimanapun seorang lelaki warga asing yang baru menyertai aktiviti itu terpaksa berputih mata apabila kegiatan mereka berjaya dikesan pihak polis pada 8 Disember lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, ketiga-tiga individu yang berusia antara 40 hingga 45 tahun itu ditahan di sebuah kediaman di Kajang, Selangor, Isnin lepas.
Jelasnya, kumpulan itu menjadikan sebuah rumah teres tiga tingkat sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan pelbagai jenis dadah untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun katanya, serbuan yang dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menemui 94 bungkusan plastik serta 400 kotak minuman mengandungi pelbagai jenis dadah bernilai RM10.4 juta.
“Serbuan itu menemukan 46 bungkusan mengandungi 1,539 paket plastik disyaki dadah jenis serbuk ecstasy (50kg), 21 bungkusan ketamin (21.5 kg), empat plastik pil ecstasy (2.5 kg), 470 paket plastik syabu (980 gram), dua bungkusan plastik pil erimin 5 (3.5 kg) dan sebungkus plastik pil yaba (587 gram).

“Turut ditemukan 18 bungkusan plastik lut sinar mengandungi 1,600 batang rokok dengan dadah jenis bunga ganja (2 kg) serta 400 kotak minuman dan botol dengan cecair ecstasy (195.50 liter),” katanya pada sidang media di IPK Selangor, di sini, hari ini
Shazeli juga berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek pertama dan kedua mempunyai satu rekod kesalahan narkotik di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985,
“Manakala suspek ketiga tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Ketiga-tiga suspek dipercayai berperanan sebagai individu yang menjalankan aktiviti pembungkusan bekalan bahan disyaki dadah bagi tujuan pasaran.
“Ujian saringan awal air kencing ke atas ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah,” katanya.

Selain dadah, pihak polis juga menyita sebuah kereta jenis Honda City dan enam barangan kemas berjumlah RM52,600 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Menurut Shazeli, kesemua suspek telah direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang dari 12 sebatan,” katanya.
Katanya lagi, dadah jenis pepejal yang dirampas dianggarkan mampu dibekalkan kepada 162,134 pengguna dalam tempoh sehari dengan penggunaan 0.5 gram bagi setiap individu.
“Manakala bahan disyaki dadah jenis cecair pula dianggarkan mampu dibekalkan kepada 391 pengguna dalam tempoh sehari dengan penggunaan 0.5 liter bagi setiap individu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















