PUTRAJAYA – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menetapkan perbicaraan kes amang seksual penyanyi Naim Daniel, didengar bermula Mac tahun depan.
Peguam Mohd. Irwan Sumadi memberitahu wakil media, perbicaraan yang sepatutnya didengar hari ini ditangguhkan manakala tarikh baharu ditetapkan pada 31 Mac serta 1 hingga 3 April 2026.
Menurutnya, prosiding yang ditetapkan selama tiga hari iaitu pada 15, 16 dan 18 Disember, dilapangkan oleh mahkamah.
Pada prosiding lalu, mahkamah membenarkan saksi dalam kes itu memberikan keterangan menerusi pautan video.
Sebelum ini, pihak pembelaan menyeru supaya mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian dalam kes yang dihadapi anak guam mereka.
Mohd. Irwan berkata, beliau percaya sistem kehakiman yang sedia ada memberi ruang yang adil kepada semua.
Pada 17 Jun lalu, Naim Daniel didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel pada Mei lalu.
Bagaimanapun Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam prosiding secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, pelatun lagu Sumpah itu didakwa telah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit hotel di Petaling Jaya pukul 8.56 malam pada 19 Mei lalu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Naim Daniel diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan. – MalaysiaGazette
















