KENYATAAN Pas Selangor berkenaan isu sampah dan kebersihan di negeri itu.

KUALA LUMPUR – Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan kekecewaan terhadap isu banjir dan kebersihan di Selangor wajar difahami sebagai suara keprihatinan terhadap denyut kehidupan rakyat.

Ketua Penerangan Pas Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, isu itu wajar diteliti secara berfakta dan menyeluruh, melangkaui retorik, dengan fokus kepada keupayaan pelaksanaan dan pemantauan sebenar.

Ketika ini, ujar beliau, kutipan sampah yang sepatutnya berjadual adakalanya tidak konsisten, sehingga menimbulkan ketidakselesaan awam.

Menurutnya, tidak dinafikan Selangor menjana jumlah sisa pepejal yang tinggi, dianggarkan sekitar 7,000 tan sehari selari dengan statusnya sebagai negeri berpenduduk padat dan berteras bandar.

Namun, kata beliau, sebagai sebuah negeri yang mempunyai hasil dan kapasiti pentadbiran yang besar, pengurusan sisa pepejal seharusnya dapat dilaksanakan secara lebih cekap, sistematik dan berdaya tahan.

“Di Selangor, urusan kutipan sampah domestik dilaksanakan melalui pihak swasta dengan KDEB Waste Management Sdn Bhd sebagai pengurus projek di beberapa kawasan PBT sekali gus menuntut tahap pemantauan dan kawal selia yang tinggi.

“Terdapat rungutan awam bahawa struktur pelaksanaan ini berdepan cabaran, termasuk isu pengurusan subkontraktor yang menjejaskan kelancaran operasi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Sultan Selangor bertitah menerima banyak aduan mengenai keadaan kotor di Selangor, menegaskan bahawa baginda mahu perancangan segera dilakukan untuk membersihkan negeri itu.

Baginda bertitah, dahulu, rakyat yang menulis kepada baginda biasanya tidak menyatakan nama dan maklumat berkaitan untuk menghubungi mereka namun sekarang, penulis akan memberikan nama dan butiran untuk berhubung sekali gus menunjukkan mereka sememangnya mahu dihubungi.

Sementara itu, Yusfarizal berkata, isu kapasiti tapak pelupusan sampah sedia ada juga merupakan cabaran utama dalam pengurusan sisa pepejal di Selangor.

Ujarnya, usaha ke arah penyelesaian jangka panjang melalui pembangunan kemudahan Waste-to-Energy di Jeram dan Tanjung 12 telah dirancang sejak 2021 dan diharapkan dapat beroperasi sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

“Sekiranya kemudahan tersebut dapat beroperasi seperti dirancang, ia dijangka membantu mengurangkan tekanan terhadap tapak pelupusan dengan pengurusan sisa dalam jumlah yang besar,” katanya.

Secara keseluruhan, tambah beliau, isu sampah di Selangor melibatkan tiga cabaran utama iaitu jumlah sisa yang tinggi, kelancaran kutipan serta keupayaan pelupusan.

Ketiga-tiga cabaran itu memerlukan pendekatan yang lebih komprehensif, pantas dan bersepadu.

Seiring dengan aspirasi pembangunan negeri, katanya, usaha penambahbaikan terhadap pengurusan asas seperti kebersihan wajar diberikan perhatian yang lebih serius dan berterusan.

“Teguran Tuanku hendaklah dijadikan pedoman dan pemangkin penambahbaikan, agar kelemahan dapat ditangani sebelum menjejaskan kesejahteraan rakyat.

“Menjunjung titah Tuanku, menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan Selangor terus terpelihara sebagai negeri yang bersih, terurus dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast