JOHOR BAHRU – Kerajaan akan terus memperkukuh dasar sedia ada dalam menangani isu kesihatan mental, seiring cabaran tekanan dan gaya hidup masyarakat masa kini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kepentingan menanganinya terus diberikan perhatian oleh kerajaan berikutan isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan.
“Faktor gaya hidup sememangnya antara punca utama cabaran kesihatan mental yang bersifat pelbagai faktor termasuk penyalahangunaan barang terlarang.
“Pihak kami sudah pun mempunyai polisi, dasar serta prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan secara berterusan bagi menangani isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja rasmi di Hospital Permai, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.
Semalam media melaporkan, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R Thirunavukarasu berkata, Malaysia perlu memperkukuh strategi kesihatan mental berasaskan gaya hidup.
Jelasnya, ini susulan peningkatan kes kemurungan dan tekanan di tempat kerja yang terus membebankan negara.
Thirunavukarasu mendakwa, kadar kemurungan meningkat dua kali ganda sejak 2019 manakala hampir separuh daripada golongan muda pernah terfikir untuk mencederakan diri sendiri.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly setuju dengan cadangan MMA itu yang dianggap munasabah dalam menangani isu tersebut.- MalaysiaGazette
















