Pemangku Sultan Johor, Tengku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU – Cubaan menggambarkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail seolah-olah bertindak sesuka hati tanpa had dan tanpa akauntabiliti adalah fitnah politik murahan serta berniat jahat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, dakwaan itu juga jelas tidak berlandaskan fakta, realiti mahupun sejarah sumbangan baginda kepada Johor.

Syed Hussien Syed Abdullah

“Hakikatnya Tunku Mahkota Ismail adalah antara tokoh diraja paling aktif turun padang, paling konsisten membantu rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang serta sentiasa mendahulukan kepentingan Bangsa Johor.

“Antara sumbangan dan bantuan nyata yang telah dan sedang disalurkan oleh Baginda termasuklah:

• Bantuan kebajikan kepada keluarga miskin, asnaf dan golongan terkesan ketika bencana termasuk banjir dan krisis ekonomi.

• Sokongan besar terhadap pembangunan belia melalui sukan, pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan.

• Penambahbaikan ekosistem sukan negeri Johor yang mengangkat nama negeri ke peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus membuka ribuan peluang ekonomi kepada rakyat.

• Sumbangan kepada sektor kesihatan, pendidikan dan kebajikan sosial secara langsung tanpa publisiti murahan.

• Keprihatinan berterusan terhadap isu rakyat Johor, termasuk kos sara hidup, keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut Syed Hussien, keadaan itu berbeza dengan mereka yang hanya lantang dalam media sosial tidak seperti baginda yang bekerja, menyumbang dan bertindak bukan sekadar menuding jari.

Tegasnya, institusi diraja di Johor bukan alat politik dan tidak wajar dijadikan sasaran untuk meraih perhatian atau populariti.

“Rakyat Johor tahu menilai. Kami melihat dengan mata kepala sendiri siapa yang benar-benar berkhidmat dan siapa yang hanya mencetuskan kebencian.

“Saya menegaskan bahawa sebarang cubaan untuk merendah-rendahkan institusi diraja Johor adalah satu perbuatan yang tidak beradab, tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan semangat Perlembagaan serta budaya Bangsa Johor,” katanya.

Malam tadi, aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza membuat hantaran dalam media sosial miliknya berkenaan baginda dengan tulisan yang berbentuk provokasi.

“Apa masalah TMJ ni sebenarnya? Kenapa nampak seolah-olah dia boleh bertindak sesuka hati dan buat apa sahaja yang dia suka tanpa sebarang had, sempadan atau akauntabiliti yang jelas, tanpa batasan undang-undang?” tulis Fahmi.

Hantaran tersebut mendapat teguran dan tidak kurang juga netizen yang menyokong dakwaan Fahmi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast