JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor menggesa kerajaan negeri dan Persekutuan mewujudkan kategori khas, iaitu M40 Rentan, khusus bagi bumiputera bandar yang semakin terhimpit dengan tekanan kos sara hidup.

Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman berkata, ini bagi membolehkan mereka dapat menikmati akses kepada subsidi pendidikan, perumahan mampu milik dan sokongan kesihatan secara lebih adil serta bersasar.

Jelasnya, gesaan tersebut diambil kerana keadaan bumiputera bandar dalam kategori M40 yang terus terbeban khususnya di kawasan bandar utama seperti Johor Bahru, Pasir Gudang dan Skudai.

“Walaupun golongan ini mempunyai pendapatan sekitar RM4,000 hingga RM5,000 sebulan dan dianggap tidak layak menerima bantuan kerana melepasi paras B40, realitinya pendapatan tersebut tidak lagi mencukupi untuk menampung kos perumahan, pengangkutan, pendidikan anak dan keperluan asas di bandar yang semakin meningkat.

“Hakikat ini mewujudkan satu kelompok yang terpinggir dalam dasar sedia ada, iaitu golongan yang tidak miskin di atas kertas tetapi bergelut dalam kehidupan sebenar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Pejuang Johor berpandangan bahawa pendekatan kerajaan yang terlalu bergantung kepada bantuan one-off berbentuk tunai tidak mampu menyelesaikan masalah sebenar rakyat.

Bantuan sementara ujarnya, hanya memberi kelegaan jangka pendek tanpa menangani punca utama tekanan kos sara hidup.

Beliau berkata, kerajaan perlu beralih kepada subsidi yang bersifat struktural dan jangka panjang seperti pengangkutan awam mampu milik, kos penjagaan anak yang berpatutan serta skim perumahan jangka panjang yang benar-benar sesuai dengan realiti bandar besar.

Selain itu kata Suraya, ketiadaan pemetaan kos sara hidup yang terperinci mengikut daerah menyebabkan banyak dasar negeri tidak tepat dan bersifat umum.

Pejuang Johor menegaskan bahawa kawasan seperti Johor Bahru dan Pasir Gudang tidak boleh disamakan dengan daerah lain seperti Segamat atau Mersing.

Tanpa data kos hidup yang granular mengikut daerah, dasar yang dilaksanakan berisiko gagal mencapai kumpulan sasaran dan tidak mencerminkan realiti sebenar rakyat, katanya.

“Dalam masa yang sama, beban hutang isi rumah bumiputera bandar semakin membimbangkan akibat pinjaman pendidikan, pembelian kenderaan, perumahan serta penggunaan kad kredit.

“Tanpa sokongan dasar yang menyeluruh, tekanan kewangan ini boleh membawa kepada masalah muflis dan ketidakstabilan sosial,” katanya.

Pejuang Johor menggesa kerajaan memperkenalkan program literasi kewangan dan pengurusan hutang yang komprehensif serta skim pembayaran balik lebih fleksibel dan berperikemanusiaan.

Pihaknya turut menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan tahap literasi digital dan keselamatan siber, khususnya dalam kalangan komuniti Felda dan kampung.

Dalam era ekonomi digital katanya, kelemahan dalam aspek ini mendedahkan rakyat terhadap risiko penipuan dan memperluaskan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

“Program yang tersusun dan berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan komuniti luar bandar tidak terus tercicir daripada arus pembangunan teknologi,” katanya.

Walaupun tidak mempunyai wakil dalam kerajaan negeri, beliau berkata, Pejuang Johor tetap komited menjadi suara rakyat dan akan terus memperjuangkan isu-isu yang melibatkan kesejahteraan rakyat.

“Pejuang Johor percaya bahawa pembangunan negeri tidak boleh bergantung kepada bantuan sementara semata-mata, sebaliknya memerlukan dasar yang adil, berstruktur dan berpandangan jauh agar tiada rakyat Johor yang terus terpinggir,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast