Md Israk (tengah) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat terhadap Fahmi di Balai Polis Pontian, Pontian, hari ini.

PONTIAN – Semua 26 bahagian UMNO di Johor membuat laporan polis hari ini dan esok terhadap aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza kerana didakwa menghina Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam media sosial miliknya.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, tindakan Fahmi menerusi hantaran terserbut yang disertakan dengan visual adalah bersifat provokatif.

Malah katanya, beliau sendiri sebagai Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai turut membuat laporan di Balai Polis Pontian, di sini, petang tadi berhubung isu tersebut.

“Tujuan membuat laporan polis supaya siasatan dilakukan terhadap kandungan dalam hantaran-hantaran tersebut di bawah Akta Hasutan 1948.

“Ini termasuk siasatan bawah peruntukan undang-undang lain yang berkaitan,” ujar beliau ketika ditemui selepas membuat laporan polis berkenaan.

Beliau meminta pihak polis menjalankan siasatan yang menyeluruh dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang yang ada.

Malam tadi, Fahmi membuat hantaran tersebut berkenaan baginda dengan tulisan yang berbentuk provokasi:

“Apa masalah TMJ ni sebenarnya? Kenapa nampak seolah-olah dia boleh bertindak sesuka hati dan buat apa sahaja yang dia suka tanpa sebarang had, sempadan atau akauntabiliti yang jelas, tanpa batasan undang-undang?”

Hantaran tersebut mendapat teguran dan tidak kurang juga netizen yang menyokong dakwaan Fahmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast