KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Wilayah Persekutuan memberi peringatan keras dan tidak berlapik kepada Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah kepimpinan baharu supaya tidak sama sekali membawa, menghidupkan atau menyuburkan agenda DAP dan sekutunya yang bercanggah dengan nilai Islam, sensitiviti umat Islam dan keharmonian masyarakat.
Ketuanya, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata, ia termasuk cadangan pilihan raya kerajaan tempatan yang berpotensi mewujudkan ketidakseimbangan kuasa serta konflik sosial.
Selain itu, pendekatan liberal dalam pentadbiran bandar yang boleh menghakis peranan agama dan nilai moral, serta cubaan menormalisasikan agenda songsang atas nama hak asasi dan kebebasan individu.
Agenda lain, ujarnya, termasuk dasar pembangunan yang menindas penduduk asal, meminggirkan golongan B40 dan memberi keutamaan kepada pemaju.
“Kami juga memandang sangat serius perkembangan mutakhir yang menyaksikan isu LGBTQ semakin ditonjolkan, dipromosikan dan dinormalisasikan secara terbuka, termasuk melalui aktiviti sosial, penganjuran acara, kempen media serta tekanan terhadap institusi kerajaan.
“Kami ingin menegaskan dengan jelas dan tegas yang mana Wilayah Persekutuan bukan medan normalisasi maksiat dan bukan tapak eksperimen ideologi liberal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, Hannah Yeoh diberi peranan baharu sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menggantikan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang digugurkan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pula digalas Ahli Parlimen Tawau daripada parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Lo Su Fui yang merupakan lantikan baharu.
Sementara itu, Azmer Syazwan berkata, pihaknya juga ingin menegaskan pendirian yang tidak berkompromi sekiranya agenda Islam dipinggirkan, diperlekeh atau dikorbankan atas nama keterbukaan.
Selain itu, menurutnya, Pas Wilayah Persekutuan juga menentang keras terhadap sebarang unsur berbentuk maksiat dan penyimpangan moral daripada dinormalisasikan dalam dasar dan pentadbiran.
“Kami juga tidak berkompromi sekiranya isu kebajikan penduduk diabaikan termasuk isu perumahan, kos sara hidup dan pengambilan tanah serta sekiranya berlaku ketidakadilan kepada rakyat tanpa mengira bangsa, kerana keadilan adalah prinsip Islam yang bersifat sejagat,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya akan memantau secara dekat setiap dasar dan keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan dan tidak teragak-agak menyuarakan bantahan terbuka di Parlimen, media dan lapangan rakyat.
Ujarnya, Pas Wilayah Persekutuan bersama rakyat juga akan terus mempertahankan maruah Islam dan kesejahteraan masyarakat serta menggerakkan tindakan politik dan kemasyarakatan sekiranya sempadan prinsip dilanggar.
“Jawatan adalah amanah, bukan lesen untuk mencairkan nilai agama atau menormalisasikan kemungkaran,” katanya. – MalaysiaGazette
















