Penduduk Gaza terpaksa bertahan hidup dalam keadaan yang sejuk dan persekitaran yang tidak bersih menyebabkan penyakit berjangkit menular. Foto Islamic Relief

GAZA – Hujan lebat sepanjang minggu lalu telah memburukkan lagi kehidupan ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza.

Menurut jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), keadaan cuaca pada waktu malam “sangat teruk”, dengan hujan yang begitu lebat sehingga air bertakung setinggi sehingga 15 sentimeter berhampiran pejabat agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu (PBB).

Jonathan Crickx melahirkan rasa bimbang keadaan kanak-kanak yang tinggal dalam khemah dan tempat perlindungan sementara dengan pakaian basah kuyup, mendedahkan mereka kepada hipotermia dan penyakit lain.

Kementerian Kesihatan Gaza yang ditadbir Hamas berkata, seorang bayi telah meninggal dunia akibat hipotermia dan sekurang-kurangnya 11 orang lagi terkorban dalam runtuhan bangunan yang disebabkan oleh cuaca buruk.

Agensi-agensi PBB itu telah meningkatkan penghantaran khemah, selimut dan pakaian sejak gencatan senjata Gaza bermula sembilan minggu lalu, namun mereka menyatakan bantuan yang masuk masih tidak mencukupi.

PBB  menganggarkan hampir 55,000 keluarga setakat ini terjejas akibat hujan, dengan barangan dan tempat perlindungan mereka rosak atau musnah.

Lebih daripada 40 pusat perlindungan kecemasan yang ditetapkan telah ditenggelami air dengan teruk susulan hujan lebat pada hari Isnin dan Selasa, memaksa ramai penduduk berpindah sekali lagi. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast