KUALA LUMPUR – Pelancongan domestik di Malaysia terus mengekalkan prestasi kukuh pada suku ketiga 2025 dengan merekodkan 72.6 juta pelawat, meningkat 9.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun, berbanding suku kedua 2025 jumlah pelawat domestik merosot 1.6 peratus.
Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, perjalanan domestik suku tahun ketiga dipengaruhi oleh cuti umum dan cuti persekolahan yang turut menyokong dalam pertumbuhan pelancongan domestik.
Perbelanjaan pelancongan domestik mencatatkan RM29.8 bilion pada suku ketiga, meningkat 16.7 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelum.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan suku tahun ke suku tahun, perbelanjaan meningkat sebanyak 2.2 peratus berbanding suku tahun kedua 2025.
“Sehingga September 2025, pelancongan domestik Malaysia telah merekodkan sejumlah 216.0 juta pelawat, menunjukkan peningkatan 11.8 peratus tahun ke tahun.
“Perbelanjaan pelancongan domestik bagi sembilan bulan pertama tahun 2025, telah mencapai RM88.4 bilion, menggambarkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 13.7 peratus tempoh yang sama pada tahun 2024,” katanya.
Melihat kepada prestasi industri berkaitan pelancongan pada suku ketiga 2025, jualan runcit bahan api automotif mencatatkan peningkatan 6.3 peratus tahun ke tahun,
mencerminkan aktiviti perjalanan domestik yang berterusan dalam tempoh tersebut.
Momentum positif ini disokong lagi oleh peningkatan 11.4 peratus dalam ketibaan lapangan terbang domestik, menunjukkan pergerakan berterusan dan permintaan
perjalanan di kalangan penduduk Malaysia.
Sementara itu, hasil dalam subsektor penginapan meningkat sebanyak 14.3 peratus tahun ke tahun. Kadar penghunian bagi hotel lima bintang ialah 68.8 peratus, manakala,
hotel empat bintang mencatatkan peningkatan 0.2 mata peratus kepada 62.8 peratus, diikuti hotel tiga bintang, yang meningkat kepada 69.9 peratus.
Mengikut lokasi pula, kadar penghunian hotel di kawasan bandar meningkat sebanyak 1.2 mata peratus (64.0%) berbanding suku yang sama tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette
















