Antara nasihat yang dikeluarkan oleh Kerajaan UAE susulan hujan lebat melanda negara tersebut. Sumber Dubai Police

DUBAI – Penduduk Dubai digesa supaya kekal berada di dalam rumah kecuali jika ia “benar-benar perlu” keluar, berikutan jangkaan hujan lebat di negara padang pasir itu, yang pernah mengalami hujan luar biasa tahun lalu.

Amaran tersebut dikeluarkan beberapa jam selepas hujan lebat menyebabkan jalan-jalan raya di bandar Emiriah Arab Bersatu dinaiki air.

“Demi keselamatan anda, sila berwaspada kerana keadaan cuaca tidak stabil dijangka berlaku dalam beberapa jam akan datang, dan elakkan keluar rumah kecuali jika benar-benar perlu sehingga tengah hari Jumaat,” menurut amaran polis yang dihantar ke telefon penduduk.

Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Emiriah Arab Bersatu turut memberi amaran mengenai hujan di seluruh negara dari Khamis hingga Jumaat, termasuk di Dubai dan ibu negara, Abu Dhabi.

Negara-negara Teluk lain juga mengalami hujan lebat pada hari Khamis, termasuk Arab Saudi dan Qatar, hingga menyebabkan satu perlawanan Piala Arab dibatalkan.

Pada April tahun lalu, hujan rekod melanda UAE, menenggelami rumah dan mengubah jalan-jalan raya menjadi seperti sungai.

Hujan lebat itu, yang diburukkan lagi oleh kekurangan sistem perparitan ribut, menjejaskan operasi Lapangan Terbang Dubai, hab antarabangsa paling sibuk di dunia.

Cuaca ribut tersebut merupakan yang paling teruk di UAE sejak rekod bermula 76 tahun lalu, dan telah meragut sekurang-kurangnya empat nyawa, termasuk tiga pekerja warga Filipina dan seorang warga Emiriah.

Satu kajian yang diterbitkan oleh kumpulan World Weather Attribution (WWA) mendapati pemanasan global yang disebabkan oleh pelepasan bahan api fosil “berkemungkinan besar” memburukkan lagi hujan lebat yang melanda UAE dan Oman tahun lalu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast