Mohd Naim Kurniawan Bung Moktar ketika diumumkan sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kinabatangan. - Foto: FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pencalonan anak Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin iaitu Mohd Naim Kurniawan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan perlu difahami secara adil dan rasional.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, politik bukan sekadar soal nama, tetapi soal kesinambungan amanah.

Ujarnya, Mohd Naim membesar dalam lingkungan perjuangan rakyat Kinabatangan, selain bukan asing kepada denyut nadi di kawasan itu.

Sejak kecil, menurutnya. Mohd Naim menyaksikan sendiri bagaimana ayahnya turun ke kampung dan mendengar rintihan rakyat setempat.

Tambah beliau, kefahaman itu tidak boleh dipelajari dalam tempoh singkat, tetapi terbina melalui pengalaman hidup yang panjang.

Selain itu, menurut Nurulhidayah, memberi peluang kepada generasi muda bukan satu kesalahan, tetapi satu keperluan.

Nurulhidayah Ahmad Zahid

“Politik hari ini menuntut wajah baharu yang mampu menjadi jambatan antara generasi lama dan baharu.

“Naim mewakili kelompok muda yang memahami aspirasi masa depan, namun masih berpijak pada realiti dan sejarah perjuangan kawasan. Ini bukan soal mewarisi kuasa, tetapi menyambung tanggungjawab,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Mohd Naim sebagai calon bagi PRK Parlimen Kinabatangan yang dijadual diadakan pada 24 Januari depan.

‎Kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kosong selepas penyandangnya Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, meninggal dunia pada 5 Disember lepas.

Sementara itu, Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, rakyat hari ini juga menilai calon berdasarkan kesediaan untuk bekerja, bukan sekadar retorik.

Sehubungan itu, tambahnya, pencalonan Mohd Naim membuka ruang untuk beliau dinilai secara terbuka oleh rakyat Kinabatangan.

“Jika beliau gagal, rakyat berhak menolak. Jika beliau berusaha dan membuktikan kemampuan, rakyat juga berhak memberi mandat. Inilah asas demokrasi yang sihat,” katanya.

Dalam masa sama, tegas Nurulhidayah, menghormati legasi bukan bermaksud menutup ruang persaingan, tetapi memastikan peralihan kepimpinan berlaku secara beradab dan berakar kepada realiti setempat.

Ujarnya, meletakkan calon yang benar-benar memahami kawasan adalah lebih bertanggungjawab daripada mencalonkan individu luar yang memerlukan masa panjang untuk menyesuaikan diri.

“Akhirnya, kita perlu sedar bahawa kerusi Parlimen bukan milik parti, bukan milik keluarga, tetapi milik rakyat.

“Pencalonan Naim Moktar Radin hanyalah satu tawaran kepada rakyat Kinabatangan. Keputusan akhir tetap di tangan pengundi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast