Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyifatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi gagal merujuk kelemahan terbesar pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) iaitu kegagalan membayar balik apabila mengumumkan BN akan berusaha memperkenalkan semula GST selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.

Menurut bekas Menteri Kewangan itu, GST merupakan cukai penggunaan yang cekap dan adil kepada semua kerana ia memerlukan bayaran balik cukai input bagi mengelakkan cukai berganda.

Malangnya, kata beliau, kerajaan BN pada ketika itu gagal membuat bayaran balik GST seperti yang diwajibkan oleh undang-undang sehingga jumlah tunggakan mencecah lebih RM30 bilion dalam tempoh hanya tiga tahun.

Tambahnya, jumlah bayaran balik GST yang besar itu menjadi beban berat kepada perniagaan bukan sahaja menjejaskan aliran tunai mereka malah mengancam kelangsungan operasi perniagaan.

Dakwanya, bayaran balik GST berjumlah RM30 bilion itu hanya dipulangkan kepada pembayar cukai oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru dipilih pada tahun 2019.

“Walaupun ada pihak yang menyalahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atas salah urus kutipan dan bayaran balik GST yang membawa kepada mimpi ngeri kewangan kepada sektor perniagaan, masalah yang sama berulang pada tahun 2020, kali ini di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan kenyataan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri yang menegaskan pendirian supaya GST dikembalikan semula selepas PRU-16 bagi memastikan keadilan ekonomi serta hasil negara yang lebih mampan.

Menurut Guan Eng, bermula sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pada tahun 2020 sehingga kini, lebihan cukai yang telah dibayar oleh perniagaan tetapi tidak dipulangkan oleh kerajaan telah mencecah puluhan bilion ringgit menjelang tahun 2025.

Ujarnya, perniagaan masih belum menerima bayaran balik lebihan cukai bagi setiap tahun taksiran sejak 2020.

“Sekali lagi, seperti lebihan cukai input di bawah GST, lebihan cukai yang dibayar kepada LHDN telah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan digunakan serta dibelanjakan terlebih dahulu oleh kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, keadaan itu telah mengakibatkan mimpi ngeri berterusan kepada perniagaan yang tidak menerima bayaran balik lebihan cukai mereka setiap tahun sepanjang lima tahun yang lalu sejak 2020.

Tegasnya, tiada asas moral, etika atau undang-undang untuk menahan lebihan cukai yang telah dibayar oleh pembayar cukai kerana ia adalah wang mereka sendiri dan bukannya wang kerajaan.

“Kami berharap kerajaan semasa dapat mula membayar balik sebahagian daripada puluhan bilion ringgit lebihan cukai yang belum dipulangkan oleh LHDN, dengan bayaran balik sebanyak RM20 bilion supaya perniagaan dapat menyambut Tahun Baharu Cina Tahun Kuda 2026 dengan lebih makmur,” katanya.  – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast